05 September 2014

Bila Sudah Ada Anak

Dulu, sebelum saya ada Hana, saya terfikir banyak benda.

Boleh ke bangun awal pagi. Bangun sebelum azan Subuh.
Boleh ke berjaga malam bila anak kurang sihat.
Larat ke nak pergi kerja walaupun malam tadi tak cukup tidur.
Boleh ke suami jaga anak.

Yelah, suami saya luaran (wajah) nampak muda walaupun umur sudah 3 series. Opps!

Tapi itulah, bila sampai saja Hana ke dada saya, semua menjadi berubah perlahan-lahan seperti sepatutnya. Saya yang tak pandai (takut sebenarnya) pegang bayi kecil, terus menjadi berani. Kami sama-sama belajar benda baru. Maklumlah, saya berpantang sendiri. Ya, ini pilihan saya.

Sekarang, bila tengok Hana sudah pun setahun 3 bulan. Saya rasa boleh menarik nafas lega. Alhamdulillah, kami berjaya sampai ke tahap ini. Membesarkan Hana daripada umur sehari hingga sekarang dah pun pandai berjalan. Macam-macam dugaan dan ujian untuk kami berdua. Benteng kesabaran memang sentiasa diuji.

Selepas setahun 3 bulan, terbukti suami lebih penyabar daripada saya. Maklumlah, perempuan kan cepat naik angin. Salah sedikit, semua jadi ribut taufan. Alhamdulillah, bila datang ribut taufan, suami dah tahu taktik nak berlindung. Hehe..

Bila dah ada anak, semua berubah menyesuaikan diri.

Suami dah jadi lebih peramah berbanding dulu. Peramah berbual dengan Hana. Rasa suami lagi pandai berbual dan layan Hana main berbanding saya.

Cuti hujung minggu, kami lagi suka duduk di rumah. Kalau dulu, hari Rabu dah fikir dah plan nak ke mana hari Sabtu atau Ahad. Sekarang, melepak saja di rumah. Tengok-tengok, dah pun Isnin.

Perbualan sekarang pun dah berubah. Suami selalu bercerita apa yang Hana buat.

"Tadi Hana dah berjalan dua tiga langkah.."
"Tadi, Hana buat macam ini"

Kebiasaannya, suami yang mula perasan perkembangan Hana. Tapi, ada juga yang saya perasan dulu. Masa itu, bolehlah eksen dengan suami masa cerita apa yang saya nampak Hana buat. Haha..

Bila sudah ada anak, semua boleh berubah.
Harapnya, kami pun 'membesar' menjadi ibu bapa yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment