20 January 2014

Nursing In Public (NIP)

Seperti yang dijanjikan dalam perkongsian sebelum ini, saya nak bercerita tentang Nursing In Public (NIP). Sejak awal mengandung fikiran saya dah 'dibasuh', tak perlu malu nak NIP. Ini hasil daripada pembacaan di FB group KIM. Jadi, hari pertama saya keluar daripada rumah selepas tempoh berpantang, saya ke pejabat suami. Selamba saya NIP di depan rakan sepejabat lelaki.

Saya dah tetap dalam fikiran, boleh NIP janji aurat terjaga. Sejak jadi ummi ni, apa saja untuk Hana. Janji syariat terjaga dan tak langgar undang-undang. Malu tu tolak tepi.

Tetapi, baru-baru ni saya ada terbaca pendapat seorang lelaki yang dah bergelar bapa. Katanya, dia tak selesa tengok perempuan NIP. Alasannya, mungkin menyebabkan lelaki rasa 'terganggu'. Katanya lagi, lain lelaki lain keadaannya. Hmm.. termenung saya sekejap.

Saya akui, pendapat saya sebagai seorang ummi memang takkan telus. Bagi saya, tak selayaknya lelaki rasa terganggu bila tengok ibu NIP. Ini sebenarnya masalah lelaki itu sendiri. Allah jadikan anggota tubuh itu pun untuk tujuan sumber makanan anak. Inilah fitrah kejadian yang Allah dah aturkan. Yang membuat perkara ini jadi pelik adalah manusia. Selalu membuat label yang tak kena! Kepada lelaki yang berfikiran macam ini, saya cadangkan, ubah cara pemikiran tu.

Saya akan terus NIP janji syariat terjaga. Selepas ini, saya nak membeli baju nursing pula. Nak mula buat koleksi. Sebelum ni pakai ja baju yang ada. Mahal-mahal juga baju nursing ni.

Walaupun berani NIP, saya masih lagi malu nak pam secara terbuka di depan rakan lelaki. Belum lagi sampai keberanian tu. Mungkin sebab bunyinya kot. Susah nak cover. Nanti ramai yang perasan dan tercari-cari punca bunyi.

Nursing pillow yang tak diguna untuk tujuan nursing..

18 January 2014

Lactul - Penyelesaian Sembelit Lepas Bersalin

Ok, dah baca tajuk kan. Jadi, perkongsian ini mungkin sedikit 'busuk'. Hahaha.


Bila bercerita tentang kisah berpantang, saya tidak boleh lupa tentang pengalaman sembelit lepas bersalin. Sangat menyiksakan! Rasa macam lagi susah berbanding sakit bersalin.


Selepas dah ada pengalaman ini, saya tahu hanya Lactul mujarab dengan saya. Sebelum keluar daripada hospital, saya dah dibekalkan dengan dua botol Lactul. Memang saya bergantung sangat dengan Lactul ni. Awal-awal lepas bersalin, memang tak berani nak buat apa-apa proses tu. Jangan kan nak keluarkan proses tu, nak kentut pun tak berani Hahaha! Ya la, luka bersalin masih baru. Saya tak boleh bayangkan macam mana rupanya. Nak tengok pun takut.


Ini rupa Lactul.


Gambar dari Google.


Minum Lactul ni memang melancarkan proses. Berlaku pergerakan usus, dan semuanya lancar selepas itu. Semuanya ok, hinggalah stok Lactul habis. Inilah tragedinya. Masa tu, saya masih dalam tempoh berpantang. Sembelit teruk! Nak berlama dalam bilik air, tak boleh. Sebabnya Hana mudah terjaga. Lepas tu, asyik merengek mencari ummi.


Saya minta suami beli ubat sembelit dari farmasi. Staf farmasi cadangkan Sentokot, sebab sesuai untuk ibu yang bf. Masa ini tak terfikir lain ubat lain caranya. Tak terfikir lah nak suruh cari Lactul. Saya cuba makan Sentokot tu. Pergerakan usus ada, tapi proses pengeluaran tak berjaya. Dekat sejam dalam tandas tapi tiada hasil. Stress!


Tak berjaya dengan Sentokot, saya minta suami cari Lactul pula. Sekali minum Lactul, terus rasa nak ke tandas. Alhamdulillah, semuanya lancar. Hilang segala azab berhari-hari.


Bila saya kaji-kaji balik kenapa lepas bersalin kebanyakkan ibu kena sembelit, sebabnya ialah segala usus ni longgar disebabkan mengandung. Jadi, ambil masa lah semuanya nak kembali ke keadaan sebelum mengandung.


Saya cadangkan minum Lactul kalau ada masalah sembelit yang serius. Lactul ini sirap yang ada dalam tu bakteria baik yang menggalakkan proses penyahtinjaan. Boleh baca lebih lanjut di perkongsian ini.


Setakat saya minum, tiada kesan yang tidak baik yang saya nampak. Walau bagaimanapun, bergantung juga kepada keserasian badan masing-masing.


Sekian, perkongsian 'busuk' hari ini. Hehe.

15 January 2014

Rutin Harian Semasa Berpantang

Setelah saya buat keputusan untuk berpantang sendiri di Putrajaya, saya google pengalaman ibu yang berpantang sendiri. Rupanya, ramai juga yang berpantang sendiri. Kebanyakannya berpantang sendiri bila melahirkan anak kedua atau seterusnya. Ada juga yang berpantang semasa melahirkan anak pertama. Cuma, tak banyak. Saya baca dan membaca sebab nak tau rutin harian orang berpantang sendiri. Tak banyak pula yang saya jumpa. Jadi, saya rasa baik saya kongsikan bagaimana pula rutin harian saya semasa berpantang sendiri. Ingat-ingat lupa juga ni. Haha.


Rutin di awal pagi yang agak kritikal.


1. 7 pagi - 7.30 pagi

Suami sediakan air mandi. Masa mula-mula tu kami rebus daun yang mak bawak dari kampung dalam periuk. Sebenarnya perangat ja sebab ulang pakai air rebusan daun yang dah ada dalam periuk tu.
Bila siap perangat, suami akan tapiskan air ke dalam baldi. Dalam suku baldi saja. Nanti bila saya nak mandi saya akan campur air. Agak-agak sesuai dengan suhu yang nak. Jadi, saya mandi dengan air satu baldi saja. Nampak cam tak cukup. Tapi, cukup ja.

Lama-lama bila air rebusan macam dah jernih, kami berhenti perangat air rebusan daun ni. Saya minta suami masak air dalam jag elektrik. Masak dua kali untuk dapat dua jag air panas tu. Bila dah masak air tu, suami masukkan dalam baldi. Lepas tu, masukkan paket herbal bath Tanamera untuk direndam sekejap agar keluar segala khasiat daunnya. Saya berjimat juga guna paket Herbal Bath ni. Saya ulang pakai rendam. Bila dah nampak air rendaman dah jernih atau paket dah bocor, baru saya buang dan ganti dengan yang baru.

Sehingga hari ke 21, saya mandi sekali saja sehari iaitu pada waktu pagi. Selepas tu ada cuba-cuba mandi petang. Tapi, badan jadi sejuk semacam. Mungkin, badan mudah sejuk kot. Jadi, saya teruskan mandi sekali saja sehari hingga habis pantang. 


2. 7.30 pagi - 8.00 pagi

Selesai mandi, saya bersarapan. Menu saya mudah sahaja. Saya minum milo cicah dengan biskut Jacob's. Inilah menu saya setiap hari. Tak jemu langsung! Sedap ja saya makan setiap hari.

Kebiasaannya, jam 8 pagi suami akan keluar ke pejabat. Selepas ini, saya dan Hana saja lah di rumah.


3. 8.00 pagi - 9.30 pagi

Selesai bersarapan, saya bertungku. Tempoh bertungku tak menentu sebab ikut waktu Hana bangun pagi. Kalau Hana bangun awal, sekejap la saya bertungku. Begitulah juga sebaliknya.

Saya suka bertungku. Sedap ja rasa badan. Masa ni saya dapat berehat. Kadang-kadang siap boleh tertidur balik. Haha.

Selepas bertungku, saya akan pakai barut. Saya guna barut Tanamera. Sempat berbarut hingga hari ke 35 berpantang. Selepas itu, dah tak sempat sebab Hana dah berubah rutin jadi tidur sekejap-sekejap. Tak sempat saya nak membalut barut.


4. 9.30 pagi - 10.30 pagi

Bila Hana bangun, bagi Hana kenyang dulu. Lepas tu, saya siapkan air mandi Hana. Saya mandikan Hana di sinki dapur. Lama juga sampai umur Hana dekat 3 bulan, baru saya guna besen mandi Hana. Inipun sebab Hana dah makin aktif. Sinki tu dah kecil bagi Hana.


4. 10.30 pagi - 12.30 tengah hari

Ini waktu Hana sepatutnya tidur. Masa ni, biasanya saya sambung bertungku lagi. Saya fokus bahagian pelipat lutut, paha, tangan dan tapak kaki. Ini pun masa untuk saya rehat juga. Selesa dapat luruskan pinggang. Best!


5. 12.30 tengah hari - 2.00 petang

Sudah masa untuk makan tengah hari. Biasanya waktu ini memang perut dah lapar. Tunggu suami balik, masak dan makan. Menu biasa, bakar-bakar saja pun dah cukup berselera saya makan.

Biasanya waktu ini Hana dah bangun. Tapi, Hana boleh duduk diam-diam. Jadi, dapat la ummi dan babah makan tengah hari.



6. 2.00 petang - 5.45 petang

Ini masa kritikal juga bagi saya sebab biasanya Hana tak dapat tidur petang. Kebetulan pula semasa dalam pantang, cuaca tengah panas dan berjerebu pula. Hana tak selesa kot. Tak dapat lah tidur. Puas ummi dodoi pun tak berkesan. Jarang-jarang la Hana tidur petang. Dok layan hana bf sambil tengok tv. Sepanjang hari, semua program tv kat saluran TV Alhijrah tu saya tonton. Daripada program agama, kartun hingga drama Turki, semuanya saya tengok. Haha.

Dalam jam 5 petang, saya mandikan Hana dan siap-siapkan Hana dengan pakaian nak tidur dah. Lepas siap mandi, rutin biasa bersambung iaitu bf.

7. 5.45 petang - 8.30 malam

Suami dah balik. Fuh, lega. Ini masa saya bertungku lagi. Boleh lah rehat sambil bertungku. Suami boleh layan Hana pula. Lepas bertungku, lepas Maghrib, biasanya saya makan malam. Masa mula berpantang, makan malam saya hanya air milo yang dicicah dengan biskut Jacobs. Rasa kenyang ja. Boleh lak bertahan sampai pagi.


8. 8.30 malam ke atas

Masa untuk kami berdua masuk tidur. Di awal pantang, bila dukung Hana sambil berjalan baru Hana dapat terlelap tidur. Tetapi, lama-lama jadi tak berkesan. Cuba pulak bf, barulah Hana dapat tidur. Sehingga sekarang jadi dah rutin Hana. Bf sehingga tidur.

Dulu, bila Hana dah tertidur kami letakkan Hana dalam cot. Hana dapat tidur dalam tu ja. Terjaga malam untuk minum susu. Bila dah kenyang, letak balik dalam cot. Bila Hana dah tiga bulan, Hana demam selsema lepas masuk taska tiga hari. Saya pun mula co-sleeping sebab senang nak pantau Hana. Sejak itu, Hana mula belajar mengempeng sepanjang malam. Huhu. Sakit pinggang ummi ni kadang-kadang. Bila dah jadi rutin, nak ubah pun dah susah. Tak berjaya dah. Adoi!


Pengalaman saya, baik mula pam susu simpan untuk buat stok EBM sejak dalam pantang. Saya mula sejak hari ke 6. Dapat la 2 oz. Setiap hari, saya cuba pam. Biasanya 2 oz ja dapat dan saya simpan dalam storage liner. Alhamdulillah, stok EBM ni sangat membantu bila dah masuk kerja.

InsyaAllah jika ada rezki lagi dapat baby akan datang, saya nak rajinkan tandem masa bf baby. Lagi banyak susu dapat keluar nanti!

Nota:
EBM - Expressed breast milk
BF - Breastfeeding,menyusu bayi
Tandem - Pam sebelah sambil menyusu bayi

Sebut pasal menyusu, akan datang saya nak kongsi tentang NIP, nursing in public pulak :)
Kecilnya Hana. Punya panas masa berpantang ni, baju tak pakai dah. Berbarut ja..

14 January 2014

Puisi berkarat - Hatiku.



Hatiku.
Bukan seperti hati Rabiul Adawiyah
Khusyuk, cinta hanya pada Allah.

Hatiku.
Bukan jua seperti Saidatina Fatimah
Taat, patuh, tunduk pada Saidina Ali

Hatiku,
Sesungguhnya kucuba didik menjadi
Sabar, ikhlas, redha dan bahagia.
Kucuba.

Kumohon pada Allah.
Kumohon.
Permudahkanlah.

**
Mungkin sambungan daripada entry semalam
Bahagia bukan diberi kerana kita berusaha
Bahagia datang dengan izinNya
Jua perlu berdoa
Doa semoga Allah payungi bahagia di hati kami selalu.

Amin.

13 January 2014

Hobi Setelah Jadi Isteri.. dan Ummi

Hari ini hari Isnin. Saya berpuasa ganti, InsyaAllah. Ada lagi 11 hari perlu diganti. Ini hutang semasa bersalin. Sekarang, baru nak mula giat nak menghabiskan ganti puasa. Lama-lama, takut makin ralit. Sekarang dah pun Rabiul Awal. Sekejap ja nanti masuk Rejab, Syaaban dan Ramadhan.

Sudah pun 1 tahun 7 bulan, saya menjadi isteri. Hampir 8 bulan pula saya bergelar ummi. Masih banyak lagi saya perlu perbaiki. Masih ada lagi compang-camping lagi di sana-sini. Banyak lagi tak sempurna. Maafkan saya, sayang.. Maafkan ummi, Hana..

Nampaknya dah setahun 7 bulan masa saya diisi dengan menyempurnakan segala urusan rumahtangga. Sekarang, dengan adanya Hana. Masa banyak tertumpu kepada Hana. Pergi kerja paling lambat 7.30 pagi. Ini paling lewat, punch card sudah merah sebenarnya. Sampai rumah selepas kerja pula paling awal jam 5.45 petang. Masa tak pernah saya rasa cukup untuk saya tumpu pada Hana. Hanya hujung minggu dapat berikan lebih tumpuan. Itupun, curi-curi dengan mengurus rumah. Pastikan semuanya bersih dan selesa. Sehingga hari ini, semuanya tidak lah berjalan lancar. Masih ada hari yang tak menjadi. Walau bagaimana pun, kami masih belajar menguruskan semuanya. Dengan bantuan suami juga, yang rajin membasuh baju dan mengangkat pakaian dari ampaian.

Masa sudah sedia penuh untuk saya tumpukan pada Hana, babah Hana dan urusan kerja rumah. Untuk diri sendiri, memang tak ada. Syukur-syukur, saya masih lagi dapat mandi. Adoi! 

Apatah lagi nak berhobi. Ikutkan angan, nak hias rumah cantik-cantik. Ini maksudnya hobi suka menghias rumah. Teringin juga nak masak kek sedap-sedap. Tandanya suka baking. Best pulak tengok dress gegirl comel-comel! Best juga boleh ada hobi menjahit. Jahit quilt pun best kan! Tetapi, hakikat sebenarnya tiada satu pun dalam yang saya sebut ni saya berjaya buat.


Hobi saya sekarang;

1. Ambil gambar dan video Hana
Ini hobi yang mudah dibuat sebab handphone sentiasa dekat. Ada saja pose Hana yang menarik, terus snap. Kadang-kadang saya kongsikan di Facebook. Terfikir gak, entah-entah kawan-kawan dah bosan asyik gambar Hana dalam newsfeed.





2. Lipat CD Hana
Saya suka aktiviti ini. Lepas siap, nampak CD Hana bersusun cantik. Kepuasan!


3. Google Resipi
Selalu kena buat macam ni. Sebab, dah kering idea nak masak. Kadang-kadang saya google juga petua-petua untuk memasak. Yang mana boleh amal, saya buat.


Puas saya fikir, ini saja lah hobi yang saya ada. Mungkin lepas ini tambah lagi satu, hobi menulis blog. Cadangnya nak aktif menulis blog. Tempat meluah rasa hati dan berkongsi maklumat. Mungkin bermanfaat kepada yang memerlukan.

Sesungguhnya, walaupun tiada hobi bukanlah saya tidak bahagia. Saya bahagia dengan apa yang Allah berikan.

Bahagia melihat tawa Hana
Bahagia melihat senyum Hana
Bahagia dengan lawak suami. Kadang-kadang, pelik gak. Kat mana dapat idea ni? Hahaha.

Saya bahagia dengan apa yang ada. Alhamdulillah.
Inilah kehidupan. Bahagia bukan bila kita dapat semua yang kita nak.

Syukur.