28 February 2014

Proses Penyediaan EBM ke Rumah Pengasuh

Sebenarnya, tak susah pun proses nak sediakan susu @ Expressed Breast Milk (EBM) ke rumah pengasuh. Dulu, semasa dalam tempoh mengandung dan menggali ilmu penyusuan ini, saya rasa agak susah juga. Rasa macam banyak yang saya kabur. Alhamdulillah, sekarang ini rasa dah mahir. Rasa mudah. Kalut tu tetap ada. Kadang-kadang tertumpah juga susu semasa proses pindahkan ke dalam botol. Lepas itu, terus kecewa tak sudah. Adoi!

Prosesnya saya ringkaskan dalam senarai supaya mudah nak membacanya.

1. Setiap petang atau kadang-kadang lewat sedikit dalam jam 8 malam, saya akan keluarkan 4 keping stok frozen EBM. Saya masukkan dalam tupperware berisi air dan letak di ruangan chiller. Berdasarkan pemerhatian saya, sekitar jam 10 malam, EBM sudah pun mencair sepenuhnya.




2. Seterusnya, susu yang dah cair diisi ke dalam botol. Kalau sempat, sebelum tidur saya selesaikan siap-siap proses ini. Kalau tak, saya buat pagi esoknya. Saya isikan susu yang dah cair itu ke dalam 4 botol susu Hana. Saya sediakan 6 botol susu untuk 6 kali minum. 4 botol susu diisi susu yang dicairkan daripada stok EBM, lagi 2 pula susu yang baru diperah semalam (fresh EBM).

Botol bernombor 1 hingga 4 saya isi dengan susu yang dicairkan. Manakala selebihnya diisi dengan fresh EBM. Tujuan saya buat begini sebabnya sejak kebelakangan ini, kadang-kadang Hana hanya dapat habiskan 4 botol saja. Jadi, lagi 2 botol fresh EBM yang tak diminum boleh saya bekukan untuk menjadi stok.


Sebelum ini, saya isi botol 1 dan 6 dengan fresh EBM, sebab saya nak Hana minum awal pagi dengan susu yang fresh. Sejak Hana berubah jadi kurang minum susu pula sekarang ini, saya tukar susunan tersebut. Jadi, botol yang mana nak ditetapkan dengan susu fresh atau susu daripada yang dibekukan adalah terpulang kepada masing-masing. Tiada peraturan khas.


6 botol ini saya bekalkan siap dengan puting. Jadi, pengasuh hanya perlu panaskan saja bila Hana nak minum susu. Tak perlu nak basuh, tukar ganti puting dah.




3. Pagi sebelum ke tempat kerja, 6 botol susu dimasukkan dalam Coleman box yang dah diisi dengan pek ais secukupnya. Berat juga mengangkut Coleman box ini. Kakak sebelah rumah pengasuh tengok saya mengangkut box ni kata saya macam nak pergi piknik. Memang ada rupa tu pun..

Saya gunakan pek ais yang saya beli di Japan Home Centre. Murah dan tahan beku. Masih beku walaupun dah lebih 10 jam.


Berbaloi beli pek ais ni. Ada banyak saiz juga



Sebelum ini, saya hanya sediakan 2 puting. Jadi, pengasuh boleh basuh dan guna bergilir-gilir puting susu tu. Sejak Hana ada masuk taska sebelum ni, terus saya tukar. Siapkan terus 6 botol dengan puting


4. Susu disimpan saja dalam Coleman box tu, tak perlu dipindahkan ke peti ais rumah pengasuh. Saya lebih suka macam ni sebab terjamin keselamatan dan kebersihan susu.


Lain orang lain caranya. Baru-baru ini, semasa sesi berkenalan dengan pengasuh baru Hana, saya tanya Kak Idah samaada biasa tak uruskan bayi yang minum susu badan. Dia cakap biasa. Dia cerita sebelum ini ada juga mak yang hantar bayi yang menyusu badan dan stok susu akan disimpan di rumahnya. Memang penuh la peti ais tu. Kakak pengasuh cerita tu bukanlah merungut, cuma menceritakan pengalaman. Siap pernah susu yang cair tumpah. Ya la, kelam kabut kan dengar bayi menangis. Kadang-kadang tangan pun jadi tersilap cekau.


Berbalik kepada ayat di atas, lain orang lain caranya. Saya lebih suka memudahkan kerja pengasuh. Biar saya sediakan yang paling mudah untuk pengasuh. Kerja dia mudah, insyaAllah mudah dia nak menjaga Hana. Harapan saya begitu lah.

23 February 2014

Penyusuan, Breastfeeding dan Persediaannya

Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan menyusukan Hana. Alhamdulillah, murah rezki yang Allah kurniakan. InsyaAllah, moga dapat menyusukan Hana dengan susu ibu hingga 2 tahun. Amin.

Pada permulaan memang ada sedikit kalut, namun lepas itu semuanya lancar. Syukur. Hana belum saya cuba beri sebarang makanan. Rasa hati saya, nak Hana exclusive breastfeeding hingga 2 tahun. InsyaAllah.

Semasa mengandung, saya banyak membaca tentang penyusuan susu ibu. Berdasarkan pembacaan saya, kalau nak berjaya dalam penyusuan:

1. Mindset kena tetap daripada awal. Tetapkan nak menyusu hingga bayi umur 2 tahun. Tak nak campur dengan susu formula. Breastfeeding 10% technical, 90% bergantung kepada mindset

2. Kuatkan hati, pekakkan telinga. Konsisten dengan apa yang dah kita faham

3. Rajin menambah ilmu, berkongsi dengan ibu yang lain

4. GIGIH, GIGIH, GIGIH demi anak.

5. Buang sifat malu dan malas. Janji apa yang dibuat itu tak melanggar syariat agama dan undang-undang.



Benda penting setiap hari bekerja


Apa yang nak kena tahu:

1. Proses penyediaan stok EBM ke rumah pengasuh
2. Proses mengepam di pejabat
3. Bagaimana nak simpan stok EBM
4. Bagaimana nak cukupkan supply susu


Saya akan kongsikan satu persatu dalam senarai di atas. Perkongsian mengikut apa yang saya amalkan selama ini dan mungkin berlainan dengan orang lain.

InsyaAllah. Moga bermanfaat kepada yang memerlukan.

18 February 2014

Singgah Semalam di Melaka

Pada hujung minggu lepas, kami ke Melaka. Sebenarnya, ada urusan kerja. Alang-alang dah sampai ke sana, saya pun rancang nak tidur di Melaka satu malam. Ahad tu boleh jalan-jalan di Melaka sebelum kembali ke Putrajaya.

Dalam perancangan saya, saya nak bermalam di suasana yang tenang dan nak makan ikan bakar di Umbai Melaka. Hasil carian kat Google, saya jumpa homestay yang cantik dan dekat dengan Umbai. Pak Lah Resort namanya. Terpesona! Sudah berangan la percutian yang indah lagi tenang.

Hari Sabtu, selepas selesai urusan kerja dan makan tengah hari, kami terus ke Pak Lah Resort. Sampai di sana dalam jam 3 petang. Dapat kunci, terus masuk ke bilik. Deko bilik cantik juga. Kemas dan bersih. Cuma, bagi saya bilik agak kecil. Ada disediakan TV. Siaran pun cantik ja. Tapi, bantalnya kecil. Kurang suku saiznya kalau bandingkan dengan saiz bantal biasa.



Cantik, tenang persekitarannnya..


Kecik kan bantal tu.

Petang tu, dalam jam 5 lebih kami ke Umbai. Sesampai saja di sana, kami terus menuju ke kedai Parameswara. Khabarnya kedai ni masyhur, sedap masakan kat sini! Saya yang dah lama kepingin nak makan ikan bakar, terus order sotong goreng tepung, ketam goreng berempah, ikan bakar sambal dan kailan ikan masin.

Cepat service kat sini. Cepat je order siap. Suami makan dulu. Tapi nampak kurang berselera. Katanya kat Ana Ikan Bakar lagi sedap. Bila saya rasa, memang ya pun. Adoi! Jauh datang. Baik saya pergi ja Ana Ikan Bakar kat Bangi tu. Walau bagaimanapun, hampir habis juga makanan tu. Sayang duit kalau tak habiskan. Erm, boleh tahan mahal. Pelik juga rasa tak seberapa, tapi ramai yang datang. Agaknya semua sama kes macam saya kot.

Malam tu, kami tidur dengan suasana nyaman di Pak Lah Resort. Mula-mula risau juga tentang keselamatan. Pintu dikunci hanya menggunakan tombol semata-mata. Tiada pun selak. Tapi, bila dah lena semua tu dah lupa! Sampai ke Subuh,walaupun nyamuk dok kacau telinga. Hehe..

Esoknya selepas sarapan pagi, kami ke Kg Morten. Pening jugak nak cari kampung ni. Hajat nak masuk dalam rumah Kg. Morten tak kesampaian. Takpa lah, mungkin rezkinya di lain kali.

InsyaAllah...

Kesimpulannya;

1. Saya dapat percutian suasana kampung yang nyaman. Cuma kesian kat Hana. Badan, tangan kena gigit nyamuk. Banyak nyamuk sungguh malam tu. Pagi tu, masa kemas beg, hampir sepuluh ekor nyamuk keluar daripada beg. Nyamuk ni dok berkhemah sakan dalam beg tu.

2. Dapat makan ikan bakar kat Umbai. Rasa tak sesedap yang saya harapkan. Takpa lah... pengalaman. Lepas ni pergi ja makan ikan bakar dekat Bangi tu.

Saya cadangkan pengurusan Pak Lah Resort:
1. Sediakan peti ais kecil. Kemudahan asas yang selalu pengunjung perlukan
2. Tambah selak pintu. Kunci pintu guna tombol saja, macam tak kunci pintu sebenarnya.
3. Tukar bantal yang saiz lagi sesuai

Untuk Umbai pula, tukang masak kena rasa betul-betul masakan tu.

10 February 2014

Pengasuh, Taska dan Ceritanya

Seperti yang saya jangkakan, agak sukar mencari pengasuh baru Hana. Rasanya hampir 20 orang pengasuh saya cuba telefon. Kebanyakannya, tidak mahu mengasuh bayi. Telefon dan telefon, akhirnya ada 3 orang pengasuh berminat menjaga bayi. Seorang pengasuh Kak L, Kak I dan Kak Z. Saya berjumpa dengan Kak L, Kak L nampak ok. Memang nak sangat menjaga bayi, tapi hati saya belum terbuka penuh. Ada sesuatu yang kurang.

Esoknya, saya bercadang nak berjumpa Kak Z dan Kak I. Kami berjumpa dengan Kak Z dulu. Saya ceritakan tentang Hana, tak tidur buai dan sekarang kadang-kadang menangis juga. Tidaklah tahap meraung atau melalak. Kak Z setuju menjaga Hana. Memandangkan dah lewat pada masa tu, dah dekat Maghrib. Tak sempat nak berjumpa dengan Kak I. Akhirnya, kami batalkan berjumpa dengan Kak I, lagipun dah dapat Kak Z sebagai pengasuh. Lagi mudah sebab rumah Kak Z berdekatan dengan pejabat suami.

Memang tak sangka. Selepas Maghrib, saya dapat Whatsapp daripada Kak Z, dia tak jadi menjaga Hana sebab Hana tak tidur buai. Dia takut tak sempat nak tidurkan Hana di tilam. Saya katakan boleh je tidurkan Hana di buai. Tapi, tak jalan. Kak Z tetap menolak.

Ok. Kecewa. Esoknya ummi dan babah EL.

Kami mencari pengasuh yang lain. Nak cuba tanya pada Kak I jadi segan pula. Semalam kan dah cakap tak jadi. Teruslah mencari yang lain. Tanya punya tanya, dapat seorang calon pengasuh, Kak A.
Kami pergi berjumpa dengan Kak A. Kak A nampak sabar dan hanya mengasuh 2 orang budak. Kak A bersetuju menjaga Hana. Kami pun ok.

Esoknya, hari Selasa, Hana ke rumah Kak A. Saya telefon Kak A pada pagi tu, bagaimana keadaan Hana. Kak A kata ok. Baik je main. Leganya saya. Syukur. Petang tu, dalam kul 2 petang saya telefon lagi. Kak A kata ok.

Saya lega. Senang hati pergi bersolat.

Balik daripada solat, ada 15 misscalled daripada Kak A. Bila saya telefon Kak A, jelas dengar Hana menangis kuat. Oh Hana! Bergegas saya ke rumah Kak A. Bila saya sampai, Hana dah tidur. Kesian Hana ummi. Saya kejutkan Hana daripada tidur, terus Hana sambung menangis lagi. Pujuk, pujuk.. baru Hana ok. Petang tu saya ambil Hana awal. Kak A pun nampak ok.

Petang tu dalam jam 6 lebih, Kak A sms bagitau tak dapat nak terus jaga Hana. Saya pujuk, dia kata ok boleh teruskan jaga Hana. Tapi sekerat hari je. Jam 10 malam, dapat pula sms kata tak jadi pula nak jaga. Saya pasrah, jadi malas dah nak memujuk.

2 hari lepas tu saya ambil cuti rehat. Puas la main dengan Hana di rumah. Berfikir-fikir nak cuba hantar Hana ke taska. Akhirnya, kami buat keputusan nak cuba hantar Hana ke taska berdekatan pejabat suami.
Selepas cuti panjang CNY, Hana ke taska. Dengan harapan Hana ok di sana. Sedih kisah di taska. Saya cuba 2 hari, tapi saya tak cukup tabah nak teruskan Hana ke sana.

Hari pertama, saya jenguk semasa waktu rehat tengah hari. Hana menangis sedu sedan. Pagi tu, tak tidur pun lagi. Saya dapat izin untuk masuk bilik baby yang Hana masuk untuk menyusu dan tidurkan Hana. Hampir sejam dalam bilik tu, macam-macam saya nampak. Hati dah rasa tak senang.

Lepas kerja, saya pergi menjemput Hana. Hana menangis juga. Entah seharian Hana menangis.
Hari kedua, saya hantar lagi. Tengah hari saya datang jenguk Hana. Hana menangis sedu sedan juga. Bila saya dah dukung Hana, terus Hana diam.

Sedih. Pedih hati ummi. Rasa hancur hati. Menangis saya.

Bersalah sangat. Kenapa saya hantar Hana ke taska. Macam tersiksa ja Hana kat sini.
Suami datang, melihat babak menangis. Saya pula tak sanggup nak 'pulangkan' Hana ke taska selepas rehat tengah hari. Dapat rasa Hana tak gembira di sana. Bila saya check CD Hana, dah kering dah tah*. Entah berapa lama dibiarkan ni. Kami buat keputusan, berhentikan Hana daripada taska. Kena cari pengasuh juga.

Ok. Ummi mencari lagi. Telefon sana-sini, smeua dah penuh. Pusing-pusing, kami singgah ke rumah pengasuh lama. Suka sangat la Kak Ma nampak Hana sampai. Bincang-bincang dengan Kak Ma, Kak Ma cadangkan hubungi semula Kak I. Kak I ok, dah biasa menjaga baby. Saya telefon Kak I, Kak I paham kenapa kami tak jadi hantar Hana ke Kak I sebelum ni.

Alhamdulillah, selepas berbincang dengan Kak I, semuanya ok. Kak I boleh terima Hana. Hana mula ke rumah Kak I bermula hari Khamis lepas. Hari ini hari ketiga, setakat ini semuanya baik. Moga berpanjanganlah keadaan ini. Cepat serasi Hana di sana.

Saya rasa lega. Ikutkan hati saya nak berhenti kerja. Dapat menjaga Hana sepenuh masa. Keadaan belum mengizinkan. Moga Allah permudahkan harapan saya.

Tentang taska tu, saya sangat kecewa. Saya dah mengadu semuanya pada pemilik taska. Apa yang jadi pada Hana. Apa yang saya nampak. Pada hari kedua, Hana menangis, entah-entah dibiarkan, tiada siapa yang memujuk. Ber*k tak dibasuh. Susu yang saya bekalkan baru susut 2 botol. Sedangkan masa saya sampai sudah pun dekat jam 1 petang. Apa yang cikgu ni buat? Paling rasa terbakar, semasa menunggu cikgu ambilkan beg baju dan box susu Hana, saya nampak seorang cikgu bilik Hana masuk sambil mendukung seorang baby. Nampak ketara pilih kasih!

Sakit hati!

Kalau ikutkan hati yang geram, mau saja saya 'basuh' cikgu-cikgu tu. Tapi, takpe lah. Saya dah mengadu pada pemilik taska. Biarlah pemilik taska yang sekolahkan mereka.

Sekiranya ada cikgu taska atau pemilik taska yang membaca perkongsian ini, saya cadangkan:

1. Ikhlaslah dalam bekerja. Kerja di taska bukan menjaga keperluan fizikal budak sahaja. Emosi budak pun mesti kena jaga. Yang dijaga tu manusia bukan benda atau barang.

2. Sama rata. Janganlah pilih kasih. Saya nampak cikgu rajin melayan budak yang dah pandai bawa diri. Budak baru yang menangis baru pujuk tak sampai seminit, dah surrender. Awak tu cikgu, dah belajar kan cara handle budak kan.

3. Rajin. Jangan malas bekerja dan buat kerja ikut kesenangan saja.

4. Komunikasi dengan ibu bapa. Berkomunikasilah dengan ibu bapa. Kalau ibu bapa call atau sms, jawablah. Bagilah maklumbalas. Anggap ibu bapa sebagai kawan bukan musuh.

5. Seronok dan minat. Rasa la seronok bekerja. Kalau tak seronok dan minat menjaga budak. Berhenti kerja di taska. Pergilah kerja jaga barang di stor. Lagi senang. Barang tak menangis.
Kepada taska yang bagus, tahniah. Banyak pahalanya jaga budak dengan baik. Jika dengan didikan cikgu taska, budak membesar dengan baik. Besar saham pahala tu.

Pada taska yang tak bagus, Allah Maha Adil. Apa yang dibuat pada anak-anak syurga ni, pasti ada balasannya. Bila masanya, Allah Maha Mengetahui.

Hana suke gigit senduk. Besar nanti nak jadi chef eh..

03 February 2014

Susu HL Bukan Susu Segar

Ingat lagi tak perkongsian saya tentang Amalan Semasa Mengandung? Saya ada tulis saya minum susu segar HL semasa mengandung. Itu dulu. Sekarang baru saya tau susu HL bukan susu segar. Adoi!

Susu HL tu sebenarnya recombined milk, susu yang dibancuh semula. Kalau diperhatikan label kandungan susu HL, ada kandungan dipanggil pepejal susu atau milk solids.

Susu yang ada kandungan pepejal susu maksudnya pepejal susu dibancuh dengan air untuk menghasilkan susu.

Berdasarkan pembacaan saya dari GNRAM, nak beli susu segar, pastikan:

1. Kandungannya hanya susu lembu ; cow's milk.
2. Mesti dihabiskan dalam tempoh yang cepat spt. 3 hari
Lepas ni kena sentiasa semak atau baca label sebelum membeli susu. Tak mau tertipu dah!

Contoh label susu segar