29 June 2014

Ramadhan 1435H

Kembali dengan Ramadhan. Alhamdulillah. Allah panjangkan lagi umur ke bulan yang boleh mengumpul pahala berganda-ganda. Namun, saya agak berdebar disebabkan ini Ramadhan pertama saya menjadi ibu menyusu yang bekerja. Tahun lepas, saya bercuti bersalin semasa Ramadhan. Jadi, tiada keperluan mengepam untuk mencukupkan stok. Harap semuanya ok. Amin.

Pujukan dan demi pujukan untuk saya mula memberi Hana makan. Tunggu dulu sebab saya nak gali dulu ilmu daripada sebuah buku bertajuk Hanya Untukmu Anakku. Saya nak rujukan yang kuat untuk buat keputusan.

Susu saya cukup untuk Hana. InsyaAllah.

Moga dapat manfaatkan sepenuhnya bulan ini dengan ibadah sehabis baik. Tahun depan belum pasti dapat lagi kesempatan ini.



Ya Allah.. Memang jauh rasa diri ini denganMu sedangkan kematian itu sentiasa dekat.

26 June 2014

Susu Kambing GMilk

Pernah minum susu kambing tak? Dulu saya pun tak pernah sebab ada stigma dalam kepala..

"Mesti ada bau kambing.."

Bila saya mengandung, saya banyak google info persediaan lepas bersalin. Antara yang saya cari ialah bagaimana mrngelakkan bayi kena demam kuning. Antara petua yang saya dapat ialah minum susu kambing. Saya mula kenal susu kambing dengan susu kambing Nubian. Sekali dah cuba, memang sedap. Terus suka!

Selepas bersalin, saya cuba nak teruskan minum susu kambing. Dengarnya, boleh banyakkan susu badan. Tetapi, stok susu Nubian susah nak dapat. Selalu saja tiada stok di rak Aeon Big.

Tanpa disangka, saya terbaca perkongsian kawan di FB tentang susu kambing GMilk , susu daripada kambing Jamnapari. Ladangnya di Nilai. Boleh buat penghantaran ke Putrajaya dan serata KL. Harga sebotol RM5, kandungan 200ml. Tiada caj penghantaran. Kalau beli di ladang lagi murah. Kalau tak salah RM3.80 sebotol.





Perbandingan susu kambing GMilk dan Nubian:

1. Kedua-duanya sedap. Tiada bau kambing
2. GMilk datang dalam bentuk beku. Nubian dalam bentuk cecair. Cara uruskan GMilk sama macam uruskan EBM
3. GMilk lagi berkrim
4. Setakat saya minum, tiada sebarang alahan. Hana pun ok




Freezer dipenuhkan dengan GMilk. Frozen EBM dah tak buat. Ada 30 botol. Bajet untuk 30 hari, sebotol sehari. Ini usaha nak kekalkan stok susu semasa bulan puasa. Ramai yang kata minum susu dengan kurma masa puasa boleh kekalkan penghasilan susu. Moga berhasil. Amin.

Saya pernah cuba Hi-Goat tapi tak serasi dengan saya. Tekak berdarah mungkin sebab badan panas dalam kut.

Sejak dah terbiasa dengan susu segar, bila minum susu yang bukan jenis susu segar, rasa tak sedap dah..

Kepada yang berminat nak mencuba GMilk, boleh hubungi no hp 012 223 9379.

18 June 2014

Puteri Beta

Dua hari ini saya melekat dengan lagu Arjuna Beta - Fynn Jamal. Versi saya jadi Puteri Beta lah ya.. :)

Mendalam liriknya. Ya, begitulah yang saya rasa..






Ngeri tak terbayang mata
Bonda tak sentiasa ada
Nanti moga kau tak lupa
Bonda memujukmu sentiasa

Sungguh. Lirik memang jujur daripada hati seorang ibu.

Saya sendiri selalu memikirkan bagaimanalah Hana jika Allah menjemput saya pergi dahulu sebelum Hana kenal erti dunia. Walaupun, saya sendiri tak pasti saya boleh mendidik Hana sesempurna mana, tapi saya tak sanggup nak pergi dahulu sebelum saya lihat Hana membesar dengan didikan yang baik. Sebaik yang saya mampu.

Bila teringatkan itu, secara automatik mata mesti berair. Hati jadi sesak.

Sebak. Nangis.

Bila difikir-fikirkan semula, sebenarnya Allah yang menjaga Hana. Saya hanya pemegang amanah mendidik Hana.

Walau bagaimanapun, saya selalu berdoa Allah panjangkan umur saya dan suami. Murahkan rezki kami. Bimbinglah kami, berilah kami petunjuk hidayah agar dapat mendidik Hana sebaiknya menjadi hamba yang solehah dan beriman. Lindungilah kami daripada sebarang bahaya dan gangguan syaitan, jin dan hasad dengki manusia.



Jika suatu hari, Hana baca coretan ini.



Hana Nur Widad,

Ummi sayang Hana. Jadilah anak yang solehah agar dapat mendoakan Ummi bila Ummi dah tiada.

**Hidup hanya sementara....

14 June 2014

Cukupkanlah Susuku Untuk Hana

"Cukupkanlah Susuku Untuk Hana.."

Itulah doa saya setiap hari. Saya tak minta susu yang banyak, sekadar cukup untuk keperluan Hana. Sudah dekat sebulan, saya sudah tidak dapat membuat stok EBM beku. Stok EBM beku sedia ada pun dah habis. Sejak itu, saya hanya bekalkan Hana dengan EBM segar setiap hari. Hasil perahan hari ini untuk bekalan esoknya.

Alhamdulillah, Hana masih dapat EBF. Saya belum perkenalkan semi/solid food lagi pada Hana.

Tunggulah dulu... 

Namun, jalan perjuangan tidak sentiasa lurus. Pasti ada likunya.

Minggu ini, minggu yang agak sukar bagi saya. Sehinggakan rasa dah hampir putus asa dan nak mengalah. Pada hari Selasa yang lepas, saya betul-betul kehabisan stok susu Hana. Setiap hari, saya perlu bekalkan 5 botol susu dengan jumlah semuanya 17oz. Hasil perahan setiap hari di pejabat pula, kebiasaannya purata dalam 10oz. Jadi, saya perlu dapatkan lagi 7oz di rumah. Bunyinya macam sedikit tapi sukar juga bagi saya untuk dapatkan sebanyak itu. Saya cuba dapatkan 7oz tersebut dengan mengepam sebelum tidur dan di awal pagi esoknya, jam 5 pagi. Itu pun kadang-kadang belum cukup pun dapat 7oz. Selalunya, hasil perahan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad akan dapat menampung kekurangan ini.

Tetapi, hendak dijadikan cerita, hasil perahan hari Jumaat hingga Ahad pada minggu lepas agak berkurangan. Saya pun tak tahu mengapa. Keadaan menjadi lebih meruncing apabila saya terbangun lambat pada pagi hari Selasa sedangkan malam tadi sudah tidur awal. Tak sempat pam! Stok betul-betul dah habis.

Kecewa sangat saya rasa! Sedih!! 

Hari Selasa itu saya masih ke pejabat seperti biasa. Petang lepas kerja pergi ambil Hana. Nampak Hana lemah sedikit. Macam nak demam. Malam Selasa, Hana sudah mula demam. Jadi, hari Rabu saya dapatkan MC. Mujur boleh. Cuti dah tinggal sedikit. Huhu.

Hari Khamis, saya terpaksa bawa Hana ke pejabat sebab saya tengok Hana masih tak sihat. Tak sampai hati nak hantar ke pengasuh. Saya perasan ada bintik-bintik pada bum Hana. Dok ingatkan sebab lambat tukar CD.

Di pejabat, kawan saya tegur ada bintik-bintik di kaki. Demam campak ni katanya. Oh betul lah.. Hana kena demam campak sebab bila petang dah nampak makin banyak bintik di muka. Sah!

Hari Jumaat saya EL. Tak dapat MC dah. Huhu.


Hana kena demam campak, saya dapat/kena cuti. Jadi, saya tak perlu sediakan stok bekalan susu ke pengasuh. Inilah hikmahNya Allah aturkan Hana kena demam campak pada minggu ini. Saya ada masa nak cukupkan stok susu Hana. Isnin depan jika Hana dah betul-betul sihat, baru lah Hana ke pengasuh.

Alhamdulillah. Allah berikan jawapan kepada doa saya. Cukupkanlah susu saya untuk Hana. Moga hingga ke 2 tahun. 

Lagi 1 tahun.

InsyaAllah. Amin.


03 June 2014

Belajar Erti Hidup Susah



Ini pen yang saya ingat lagi masa darjah 6 ada seorang kawan saya pakai pen ini. Seronok ja saya tengok dia pakai pen berwarna-warni. Saya tak mampu beli. Kawan saya bolehlah beli sebab bapa dia pegawai di Lembaga Pertubuhan Peladang. Bapa saya penoreh getah, memang duit tak akan berlebih nak beli benda sebegitu.

Saya faham, dilahirkan dalam keluarga yang kurang berada dengan adik beradik yang ramai, kami sudah diajar erti susah. Diajar juga erti bertolak ansur untuk orang lain. Tak kisah susah, janji tak menyusahkan orang lain.

Alhamdulillah, saya mendapat tawaran bersekolah menengah di sekolah berasrama di Alor Setar. Saya masih ingat lagi. Mak sewa teksi untuk bawa saya ke sekolah tersebut. Kami pergi dengan adik saya dua orang. Selesai saja urusan penempatan saya di asrama, mak terus pulang dengan teksi itu juga. Itulah kali pertama dan terakhir mak ke sekolah itu. Maklumlah, kami tiada kereta.

Saya hidup berdikari sejak bersekolah menengah. Ayah berikan wang saku untuk yuran asrama dan bakinya untuk tambang balik kampung setiap bulan. Pendapatan penoreh getah kan mengikut cuaca. Memang berjimat. Saya tak pernah makan KFC semasa di sekolah menengah. Masa tu, KFC adalah makanan mewah la kan. Makanan saya apa yang disediakan di dewan makan asrama. Jarang benar saya membeli makanan di kantin sekolah.

Setiap kali cuti panjang hujung tahun, barang kegunaan saya terpaksa tumpang kawan bawa balik ke rumahnya. Nanti tahun depan bila masuk asrama, saya ambillah semula barang saya tu daripada kawan saya. Inilah caranya sehinggalah tamat tingkatan 5. Tiada cara lain, saya pulang dulu ke rumah dengan bas, mengangkut mana-mana barang yang penting dulu. Tak lama lepas tu saya ke asrama sekolah semula dengan menaiki bas seorang diri untuk angkut barang yang saya tinggalkan. Rupanya, barang tu semua dah dikemaskan.

Kampung saya ini walaupun dekat dengan bandar Kulim, tapi lambat juga mendapat kemudahan telefon. Masa mula-mula di tingkatan 1, saya siap tulia surat ke kampung untuk beritahu tarikh saya boleh pulang ke kampung. Tujuannya, agar ayah saya boleh tunggu saya di kedai berdekatan jalan besar. Kalau tidak, saya terpaksa la berjalan kaki ke rumah hampir 5km juga daripada jalan besar. Alhamdulillah, kebiasaanya di pertengahan jalan akan ada yang pelawa untuk tumpangkan.

Semasa hendak masuk Universiti, hendak dijadikan cerita surat tawaran saya ke U lambat sampai. Akhirnya, saya menumpang keluarga kawan saya ke Seremban. Setelah nama saya dah pasti ada dalam senarai pelajar di kolej itu, mereka terus bergerak ke sekolah kawan saya pula. Ya la, nak uruskan pendaftaran kawan saya pula kan. Bila tengok orang lain dengan keluarga, sebak betul dada ni. Tapi saya boleh tahan lagi sehinggalah malam itu saya telefon mak. Terus menangis, tak boleh nak simpan lagi.

Bila masuk U, alhamdulillah ok sedikit tapi masih berjimat juga. Sejak masuk U, saya dah tak minta lagi duit mak ayah. Bagaimana susah pun, saya hanya guna duit PTPTN sahaja untuk hidup. Saya tak sanggup nak minta duit mak ayah.

Walaupun susah, besar ertinya. Saya kenal sikap tak putus asa selagi saya tak dapat apa yang saya nak.

Saya jadi cekal. Walaupun saya menangis saya tetap kuat. Saya berani. Saya tetap dengan keputusan yang saya sudah buat.

Terima kasih dengan pengalaman ini.

Sesungguhnya, ramai lagi yang lebih sukar hidupnya dari yang saya rasa.

Alhamdulillah.

Moga Allah ampunkan dosa kedua ibu-bapa saya dan kasihanilah mereka seperti mereka mengasihi saya semasa saya kecil.. Amin..


02 June 2014

Kedai Barang Elektrik Murah

Puas juga saya google di mana kedai yang menjual barang letrik murah. Niatnya nak buat kajian dulu harga mesin basuh. Akhirnya, saya terjumpa satu perkongsian daripada blogger yang membeli bread maker di sebuah kedai di Kajang dengan perbezaan harga hampir RM400 berbanding kedai lain. Ini memang murah!

Hari Sabtu yang lepas, kami ke kedai tersebut. Niat memang nak survey tapi saya sudah pasang niat juga. Kalau murah, memang beli terus. Tak sempat la nak survey banyak kedai pun. Lagipun, memang nak pakai cepat mesin basuh. Mesin basuh sedia ada sudah kurang berkesan fungsinya. Sudah sampai masa untuk pencen.

Awal-awal lagi saya beritahu suami, agak sukar nak dapat ruang tempat letak kereta berdekatan dengan kedai ini. Sebab, kedai ini berhadapan jalan yang sibuk.

Masuk saja kereta, terus saya berdoa kuat-kuat.

"Ya Allah.. mudahkanlah kami dapat parking yang dekat"

Alhamdulillah, kali ketiga pusing mencari, akhirnya kami dapat ruang letak kereta betul-betul depan kedai. Rezki sungguh! Syukur..

Melangkah masuk ke kedai, terus bertanya mesin basuh front load. Kehendak sebenarnya.. Konon nak cuba jenis macam ini pula. Belek punya belek, fikir dan fikir. Kami tukar fikiran. Beli saja jenis top load. Boleh dapat muatan yang lagi besar dengan bajet yang ada. Akhirnya, kami beli muatan 12kg. Mula-mula, nak ambil yang 15kg. Mujur, saya cepat sedar diri. Kain 3 beranak saja pun kan. 12kg dah sangat cukup untuk kami. Bolehlah lepas ini basuh comforter sendiri di rumah. Tak perlu lagi hantar ke dobi.

Harga yang ditawarkan memang murah. Harga yang ditawarkan oleh aunty tokey kedai lagi murah berbanding uncle. Harga yang uncle beri mahal RM50. Tapi tak mengapalah. Saya fikir, harga itu masih berbaloi. Akhirnya, kami pulang dengan gembira sebab petang ini sudah boleh membasuh baju dengan senang hati.

Jika ada pembaca yang nak membeli barang elektrik, boleh cuba ke kedai ini.

PUSAT PERKHIDMATAN TV & VIDEO TOONG KING
No 6, Jalan Besar Kajang 43000 Selangor.
Tel: 03-87332188

Harga berbaloi. Layanan terbaik. Sabar menunggu. Siap bukak mesin basuh baru muatan 14kg dan 12kg, letak sebelah-menyebelah untuk kami banding. Rajin melayan pelanggan. Siap dukung Hana lagi.



Hana dah susah hati, takut kena tinggal


Harga mesin basuh yang sama di Aeon Big. Memang jauh beza dengan harga di kedai Toong King.