Pautan

17 April 2013

Ulasan: Pakej Fotografi Perkahwinan

Saya rasa hampir semua B2B akan masukkan pakej fotografi dalam bajet perkahwinan. Harga bagi satu pakej fotografi kebiasaannya bermula daripada RM1,000. Harga paling mahal saya pun tak pasti. Bergantung kepada siapa jurugambar tersebut. Kalau dia seorang yang terkenal, harga pasti meletup! Hehe... Tetapi, jurugambar yang terkenal kebiasaannya adalah jurugambar sepenuh masa atau profesional. Jadi, hasil gambarnya sudah pasti berkualiti tinggi. InsyaAllah, klien akan puas hati.

Pengalaman saya sendiri, saya mengambil pakej fotografi mengikut bajet saya. Kalau ikutkan nafsu, memang berhajaaaat sangat nak ambil jurugambar profesional. Daripada sebelum ada ura-ura nak kahwin asyik tengok hasil kerja dia di webnya. Bila tanya pakej (saja la tanya kan.. walaupun dah agak tak sampai bajet..), memang melebihi bajet. Jadi, niat itu terkubur sahaja. Jurugambar pilihan saya dipilih setelah melihat-lihat hasil kerja dia di fb @ blognya. Ok, hasil suntingan nampak menepati citarasa saya. Rundingan pun dibuat dan mendapat harga yang agak berbaloi, kalau dibandingkan harga yang ditawarkan oleh jurugambar lain (pada tahap yang sama).

Pada pendapat saya, B2B perlu bersedia dengan isu seperti saya senaraikan ini bila mengambil pakej fotografi perkahwinan:

1. Bersedia dengan hasil gambar yang akan diperolehi kemudian. Hasilnya tidak akan 100% menepati apa yang diharapkan atau seperti yang jurugambar masukkan dalam fb@blog. Adakah ini bermakna jurugambar menipu? Saya tidak berkata begitu, fb @ blog jurugambar adalah ruang untuk promosi. Sudah pasti akan dimasukkan gambar yang terbaik. Cuma, pada pendapat saya, jurugambar perlulah cuba menghasilkan hampir seperti yang diiklankan. Sebabnya, klien membeli perkhidmatan anda berdasarkan iklan tersebut. Iklan itu sebenarnya janji anda kepada klien tanpa anda sedari.
B2B juga perlu bersedia gambar yang dirakam oleh jurugambar tidak semuanya akan menepati citarasa anda. Sebagai contoh, anda mahu jurugambar merakamkan gambar suasana majlis perkahwinan. Tidak hanya gambar pose pengantin sahaja. Jurugambar mungkin akan merakamkan suasana majlis tapi tidak merangkumi semua suasana. Gambar yang dirakam hampir sama sahaja suasananya!

2. Perlu rajin membuat susulan dengan jurugambar. Berdasarkan pengalaman saya, jurugambar berjanji akan menyiapkan album dalam masa tiga bulan. Dari awal saya dah jangka, paling cepat adalah 3 bulan. Tetapi, rupanya tak. Selepas 6 bulan baru album sampai ke tangan saya. Itupun setelah berkali susulan dibuat. Agaknya.. kalau saya tak rajin buat susulan mungkin setahun lebih baru album ni siap agaknya...

3. Sabar dengan pelbagai karenah. Pelbagai perkara yang tidak dijangka akan berlaku. Kelewatan album siap akan berlaku disebabkan pelbagai faktor. Jadi, bersabarlah sahaja dan berserta juga usaha dengan buat perkara di no. 2. Kemungkinan juga akan berlaku, jurugambar lupa dengan apa yang dijanjikan. Terutamanya, jika yang apa yang dijanjikan adalah tambahan kepada pakej sedia ada. Contoh, tambahan bingkai gambar. Klien boleh tanyakan semula, tapi susah nak dibuktikan sekiranya tiada bukti bertulis. Kalau jadi begini, redha ja lah ye..

Jika anda yang membaca ini seorang jurugambar, saya rasa elok amalkan pesanan di bawah:

1. Aktif dan ceria semasa majlis. Peranan anda penting bagi memberikan mood kepada klien anda. Jika anda aktif dan ceria, lagi mudah klien memberikan yang terbaik.

2. Pastikan perkhidmatan diberikan baik bemula daripada rundingan hingga selepas berjaya close deal dan sehinggalah album selamat diserahkan kepada klien. Maklumkan status terkini sekiranya album tidak disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

3. Hargailah klien anda. Jika anda pandai mengambil hati klien anda, klien akan bantu anda untuk promosikan perkhidmatan anda. Lagi-lagi, bagi klien yang sudah membayar semua bayaran. Tapi, jika anda rasa ini tak perlu, mungkin anda dah mewah job!  Hehe..

Panjang betul ulasan ini. Mungkin boleh jadi tips pada yang rasa sesuai. Kalau tidak, ini hanya pendapat peribadi saya.

No comments:

Post a Comment