08 May 2013

Kejutan! Air Ketuban Kurang

Semalam saya ke pemeriksaan di KK Presint 3 Putrajaya. Ini bagi minggu yang ke 37. Dah 37 minggu.. Pemeriksaan urin saya gagal. Ada gula dalam urin. Ni gara-gara makan roti john dan air jagung, yang saya rasa kurang manis dah tu. Salah pilih menu sebenarnya sebab makan karbohidrat saja. Boleh kata takdak protin pun dalam menu tengah hari semalam. Sejak sampai hujung kehamilan ni, selera pun dah kurang. Sarapan pagi lagi lah tak tahu nak makan apa. Saya lagi selera makan buah macam buah pisang dan epal. 

Terbabas ke bab makanan lak.. Hehe.. Kembali ke cerita berkaitan tajuk perkongsian hari ini. Nurse periksa tinggi rahim dan dapat nilai 34 cm. Gagal juga di situ sebab sepatutnya tinggi rahim sama dengan jumlah minggu. Sepatutnya 37 cm lah. Tapi, memang dari awal mengandung perut saya ni kecil berbanding dengan orang lain. Kira gagal juga lah sebab tinggi rahim tak sepatutnya jadi saya kena lah jumpa Dr. semalam. Ikutkan tak perlu sebab minggu lepas dah jumpa.

Saya suka jumpa Dr. ni sebab Dr. yang selalu periksa saya tu sentiasa ceria. Jadi, memang tak stress la jumpa dia. Dr. Zahrina namanya kalau tak salah. Bagus la Dr. camni, hilang segala risau nampak muka dia. Dia baca apa yang nurse tulis dalam buku log mengandung saya tu. Tentang ada gula dalam urin tu tak berapa masalah sebab hanya +1 sahaja. Masih lagi sedikit, boleh dimaafkan. Yang tinggi rahim tu yang kena periksa untuk tahu kenapa jadi kecil. Dr. agak mungkin air ketuban kurang. 

Proses scan USG pun dibuat dan air ketuban dalam 7.9+. Seeloknya no indeksnya adalah 8 dan ke atas. Terus Dr. buat surat rujukan ke Hospital Putrajaya. Dr. siap beritahu kalau air ketuban kurang, mungkin kena paksa bersalin hari ini. Lagipun, baby saya memang dah cukup bulan. Saya memang dah cuak, sebab tak bersedia lagi. Banyak lagi persediaan yang belum lengkap. Aduh..

Sampai di Hospital Putrajaya, terus ke Dewan Bersalin. Alhamdulillah, semasa saya sampai ada 2 katil kosong di bilik penilaian. Sekejap saja tunggu, dah dapat masuk untuk proses pemantauan. Sebelum itu, saya diperiksa tekanan darah dan diminta buat pemeriksaan urin menggunakan urine drip (rasanya inilah namanya). Macam gagal ja bila tengok perubahan warna pada urine drip tu. Memang betul pun. Bila saya tengok hasil keputusan yang dicatit ada gula dan albumin dalam urin. Eh, ada albumin pulak. Kemudian, saya dipasangkan mesin CTG di perut untuk memantau jantung bayi. Alhamdulillah, jantung bayi ok. 



Ramai Dr. yang buat housemanship kat Hospital Putrajaya. Musim kot. Seorang Dr. ni datang temubual saya tentang latar belakang penyakit. Ada diabetes, darah tinggi, asma, alahan ubat? Alhamdulillah, saya tak ada semua tu. Dia pun pelik kenapa air ketuban saya kurang. Kemudian, dia nak buat VE. Oh, yang ini yang paling saya risau. Pengalaman pertama kali, saya tak dapat beri kerjasama. Dr. tu tak dapat buat. Alhamdulillah, ada hikmahNya. Sebabnya, selepas itu dia baru perasan saya mendaftar dengan skim FPP. Jadi, dia tak boleh buat pemeriksaan VE. Hanya MO sahaja yang boleh buat. Dipendekkan cerita, MO buat VE dan memang tiada sebarang kebocoran air ketuban.

Selesai pemeriksaan VE, saya menunggu Dr. Hamidah (Dr. yang saya pilih dalam skim FPP) untuk datang buat pemeriksaan menggunakan USG. Dr. Hamidah periksa semuanya ok. Air ketuban mencukupi dan dalam indeks 12. Tinggi rahim pun ok dalam 36 cm. Alhamdulillah, semua ok. Hilang terus kerisauan saya takut kena paksa bersalin. Dengarnya, kena paksa lagi sakit.
Saya balik dengan rasa lega.. 

Harap sampai masa bersalin nanti, semuanya mudah dan selamat.

No comments:

Post a Comment