14 July 2015
Perjalanan Penyusuan Hana Hingga 2 Tahun
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Perjalanan menyusukan Hana berjaya sehingga umurnya 2 tahun. Saya katakan ini bukan bermaksud saya berbangga. Hanya sekadar coretan syukur sebagai kenangan saya. Mungkin juga, perkongsian ini boleh memberikan saya semangat untuk perjalanan penyusuan anak seterusnya. InsyaAllah, jika ada rezeki daripada Allah.
Perjalanan ini bukannya mudah. Memang daripada awal, semua orang katakan perkara yang sama. BF boleh dibuat tetapi bukan mudah. Sangat betul. Kepayahan itu mungkin berbeza mengikut individu. Payah itu mungkin juga ujian Allah untuk menguji tahap kita jua.
Akhirnya, pada 30 April 2015, adalah hari terakhir saya membawa gajet mengepam ke pejabat. Ada gambar kenangan set gajet ini saya rakamkan. Inilah barang yang saya gendong di pejabat setiap hari. Memang berat beg yang digendong. Beg disangkut di bahu kiri dan kanan. Setiap hari saya akan bawa 3 buah beg ke pejabat. Beg tangan, beg laptop dan beg susu.
Dengar BF untuk 2 tahun rasa macam sangat lama. Tapi, saya rasa macam cepat juga. Membilang hari setiap hari. Tengok-tengok Hana sudah pun 6 bulan, kemudian 1 tahun. Sedar tak sedar dah pun 2 tahun.
Pengalaman saya sepanjang perjalanan penyusuan ini.
1. Banyak cabaran hebat untuk BF. Cekal, tabah mesti ada. Biar apa yang orang kata, janji kita buat apa yang betul Allah suruh.
2. Banyakkan membaca untuk dapatkan tips, semangat baru ataupun idea baru. Mungkin ada cara yang kita amalkan itu salah. Jadi, dengan membaca pengalaman orang lain, kita boleh memperbaiki diri.
3. Berusahalah sehabis baik. Saya pun pernah merasa sangat kecewa. Pernah juga putus asa. Sekali pam hanya dapat 2 oz. Bagaimana hendak mencukupkan bekalan susu sehari 16 oz? Saya tambah kekerapan mengepam. Bangun jam 2 pagi. Bila pam, dapat 1 oz sahaja. Tertekan hanya Allah saja yang tahu. Tapi, saya degil. Tetap nak teruskan walaupun saya sedar penghasilan susu saya tidak cukup untuk Hana.
Banyak silap saya agaknya sebab itu rezki susu saya kurang. Saya cuba bertahan dengan apa yang ada.
4. Guna pam yang sesuai. Bila banding Medela dengan Autumnz Passion saya rasa saya lebih sesuai dengan Passion. Penghasilan susu pun dapat lebih berbanding menggunakan Medela. Walaupun begitu, saya bawak Medela untuk digunakan di pejabat disebabkan kelebihan bateri yang boleh dicaj semula.
Perkongsian ini bukan dengan niat mengatakan ibu yang BF lebih baik daripada ibu yang memberikan bayi FM. Bagi saya, Allah beri saya rezki susu, saya cuba berikan hak itu pada Hana semampu yang boleh.
29 June 2014
Ramadhan 1435H
Pujukan dan demi pujukan untuk saya mula memberi Hana makan. Tunggu dulu sebab saya nak gali dulu ilmu daripada sebuah buku bertajuk Hanya Untukmu Anakku. Saya nak rujukan yang kuat untuk buat keputusan.
Susu saya cukup untuk Hana. InsyaAllah.
Moga dapat manfaatkan sepenuhnya bulan ini dengan ibadah sehabis baik. Tahun depan belum pasti dapat lagi kesempatan ini.

Ya Allah.. Memang jauh rasa diri ini denganMu sedangkan kematian itu sentiasa dekat.
26 June 2014
Susu Kambing GMilk
"Mesti ada bau kambing.."
Bila saya mengandung, saya banyak google info persediaan lepas bersalin. Antara yang saya cari ialah bagaimana mrngelakkan bayi kena demam kuning. Antara petua yang saya dapat ialah minum susu kambing. Saya mula kenal susu kambing dengan susu kambing Nubian. Sekali dah cuba, memang sedap. Terus suka!
Selepas bersalin, saya cuba nak teruskan minum susu kambing. Dengarnya, boleh banyakkan susu badan. Tetapi, stok susu Nubian susah nak dapat. Selalu saja tiada stok di rak Aeon Big.
Tanpa disangka, saya terbaca perkongsian kawan di FB tentang susu kambing GMilk , susu daripada kambing Jamnapari. Ladangnya di Nilai. Boleh buat penghantaran ke Putrajaya dan serata KL. Harga sebotol RM5, kandungan 200ml. Tiada caj penghantaran. Kalau beli di ladang lagi murah. Kalau tak salah RM3.80 sebotol.

Perbandingan susu kambing GMilk dan Nubian:
1. Kedua-duanya sedap. Tiada bau kambing
2. GMilk datang dalam bentuk beku. Nubian dalam bentuk cecair. Cara uruskan GMilk sama macam uruskan EBM
3. GMilk lagi berkrim
4. Setakat saya minum, tiada sebarang alahan. Hana pun ok

Freezer dipenuhkan dengan GMilk. Frozen EBM dah tak buat. Ada 30 botol. Bajet untuk 30 hari, sebotol sehari. Ini usaha nak kekalkan stok susu semasa bulan puasa. Ramai yang kata minum susu dengan kurma masa puasa boleh kekalkan penghasilan susu. Moga berhasil. Amin.
Saya pernah cuba Hi-Goat tapi tak serasi dengan saya. Tekak berdarah mungkin sebab badan panas dalam kut.
Sejak dah terbiasa dengan susu segar, bila minum susu yang bukan jenis susu segar, rasa tak sedap dah..
Kepada yang berminat nak mencuba GMilk, boleh hubungi no hp 012 223 9379.
14 June 2014
Cukupkanlah Susuku Untuk Hana
Itulah doa saya setiap hari. Saya tak minta susu yang banyak, sekadar cukup untuk keperluan Hana. Sudah dekat sebulan, saya sudah tidak dapat membuat stok EBM beku. Stok EBM beku sedia ada pun dah habis. Sejak itu, saya hanya bekalkan Hana dengan EBM segar setiap hari. Hasil perahan hari ini untuk bekalan esoknya.
Alhamdulillah, Hana masih dapat EBF. Saya belum perkenalkan semi/solid food lagi pada Hana.
Namun, jalan perjuangan tidak sentiasa lurus. Pasti ada likunya.
Minggu ini, minggu yang agak sukar bagi saya. Sehinggakan rasa dah hampir putus asa dan nak mengalah. Pada hari Selasa yang lepas, saya betul-betul kehabisan stok susu Hana. Setiap hari, saya perlu bekalkan 5 botol susu dengan jumlah semuanya 17oz. Hasil perahan setiap hari di pejabat pula, kebiasaannya purata dalam 10oz. Jadi, saya perlu dapatkan lagi 7oz di rumah. Bunyinya macam sedikit tapi sukar juga bagi saya untuk dapatkan sebanyak itu. Saya cuba dapatkan 7oz tersebut dengan mengepam sebelum tidur dan di awal pagi esoknya, jam 5 pagi. Itu pun kadang-kadang belum cukup pun dapat 7oz. Selalunya, hasil perahan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad akan dapat menampung kekurangan ini.
Tetapi, hendak dijadikan cerita, hasil perahan hari Jumaat hingga Ahad pada minggu lepas agak berkurangan. Saya pun tak tahu mengapa. Keadaan menjadi lebih meruncing apabila saya terbangun lambat pada pagi hari Selasa sedangkan malam tadi sudah tidur awal. Tak sempat pam! Stok betul-betul dah habis.
Kecewa sangat saya rasa! Sedih!!
Hari Selasa itu saya masih ke pejabat seperti biasa. Petang lepas kerja pergi ambil Hana. Nampak Hana lemah sedikit. Macam nak demam. Malam Selasa, Hana sudah mula demam. Jadi, hari Rabu saya dapatkan MC. Mujur boleh. Cuti dah tinggal sedikit. Huhu.
Di pejabat, kawan saya tegur ada bintik-bintik di kaki. Demam campak ni katanya. Oh betul lah.. Hana kena demam campak sebab bila petang dah nampak makin banyak bintik di muka. Sah!
Hari Jumaat saya EL. Tak dapat MC dah. Huhu.

Hana kena demam campak, saya dapat/kena cuti. Jadi, saya tak perlu sediakan stok bekalan susu ke pengasuh. Inilah hikmahNya Allah aturkan Hana kena demam campak pada minggu ini. Saya ada masa nak cukupkan stok susu Hana. Isnin depan jika Hana dah betul-betul sihat, baru lah Hana ke pengasuh.
Alhamdulillah. Allah berikan jawapan kepada doa saya. Cukupkanlah susu saya untuk Hana. Moga hingga ke 2 tahun.
InsyaAllah. Amin.
26 May 2014
Perbandingan Medela Freestyle dengan Autumnz Passion

Ada komen daripada Puan Hana bertanya tentang perbandingan kedua-dua pam ini di perkongsian ini. Perkongsian ini khas untyk menjawab soalan itu.
1. FS ada rechargeable battery, maksudnya bateri boleh dicaj semula dan guna pam di mana-mana tanpa perlu cari power elektrik. Passion pula ada slot untuk bateri 2×AA.
Sekarang ini, saya perasan ada trend guna Passion dengan power bank. Cuma perlu cari cable adaptor saja. Tentang ketahanan power bank dengan berapa kali pam saya tak pasti berapa lama.
2. Suction FS pendek- pendek tapi kerap. Passion pula suction jenis tarik panjang dan lepas. Saya amik masa dekat seminggu baru dapat serasi dengan perbezaan ini.
Suction Passion lagi kuat banding FS.
3. Passion ada 2 motor jadi boleh pilih-pilih tekan saja menu nak pam sebelah saja atau bergilir-gilir. FS pam yang ada satu motor sahaja.
4. Kekuatan bunyi pula bagi saya dua-dua lebih kurang saja kuatnya bunyi. Bunyi FS kerap, bunyi Passion pula panjang tapi ada sela masa sedikit antara bunyi.
5. Prestasi pam rasanya hampir sama. Dengan Passion saya lagi cepat dapat LDR. Mungkin sebab dengar bunyi air susu tu menitik ke dalam botol, boleh membuatkan rasa lagi gembira. Maka susu lagi mudah terhasil. Hehe..
6. Corong pam FS lagi mudah nak basuh dibandingkan dengan Passion.

7. Passion adalah heavy duty pam. Bagi saya, FS tidak. Kalau tengok manual FS, ada tulis nota kecil FS dianggarkan kegunaan untuk berapa kali sehari untuk berapa minit dalam setahun.
The Freestyle operating life is defined to be approximately three 15 minute sessions per day, for one year.
Selepas saya baca nota ini, barulah saya faham kenapa motor pam saya rosak. Hmm..
Pada mulanya, saya rasa agak menyesal membeli Passion. Tetapi, setelah seminggu saya guna juga, rasa serasi dengan pam. Tak mengecewakan dengan prestasi pam dan hasil yang saya dapat.
Bagi saya, tak rugi beli pam ini kalau dibandingkan dengan harga dan fungsi yang Passion ada. Walau bagaimanapun, prestasinya tetap bergantung kepada keserasian masing-masing.
20 April 2014
Hana Demam!
Terus kejutkan suami cari termometer. 38.4 suhunya! Tinggi jugak. Doktor kena on call pagi ni. Saya minta suami buatkan air jerlum, bubuh dalam besen dan bawak asam jawa. Bukakan baju, tinggal CD saja, kemudian terus jerlum Hana. Nampak ok sedikit, Hana dah boleh sambung tidur. Agaknya badan rasa selesa sedikit selepas dijerlum.
Hari Jumaat ummi EL la sebab kena jadi doktor kan. Suhu tinggi lagi dalam 38 juga awal pagi tu. Saya teruskan dengan menjerlum. Kali ini saya guna daun bunga raya pula. Mujur di belakang rumah ada pokok bunga raya. Memang berguna sangat daun ni. Daun ni saya ramas-ramas dalam air, kemudian air ramasan tu saya sapu di kepala dan bahagian badan Hana.

Kain yang dibasahkan dengan air ramasan daun saya letakkan di kepala Hana. Ini nak memastikan suhu di kepala turun. Risau ja kalau suhu semakin naik atau tak turun langsung.

Saya buat juga minyak bawang putih. Ini dah macam kemestian setiap kali Hana kurang sihat.
Cara nak buat minyak bawang putih.
1. Bakar bawang putih bersekali dengan kulit. Bakar sampai ada sedikit kehitaman di kulit bawang.

Saya guna dua ulas bawang putih.
2. Buang kulit bawang putih. Letakkan dalam bekas seperti piring. Masukkan minyak kelapa dara. Nak guna minyak zaitun pun boleh. Sebaiknya minyak yang semulajadi bukan minyak yang ada campuran sebarang bahan kimia.

4. Lenyek bawang putih guna garfu. Selalunya saya lenyek dengan garfu, kemudian saya sambung ramas dengan jari pula biar hancur betul. Teori saya, lagi hancur bawang putih tu lagi power minyak ini sebab bahan dalam bawang putih dapat keluar sehabis mungkin untuk sebati dengan minyak.

5. Saya sapu minyak bawang putih ke tapak kaki, bahagian dada, belakang badan, belakang telinga, ubun-ubun, dahi dan hidung Hana. Saya sapu agak-agak sesuai. Kaki Hana saya pakaikan stokin.

Seharian hari Jumaat tu saya asyik lap atau basahkan badan Hana dengan air daun bunga raya. Baju memang saya tak pakaikan langsung. Mandi pula sekali saja dalam jam 4 petang.
Satu lagi saya kerapkan breastfeeding.
Malam tu Hana tidur awal. Saya sapu juga minyak bawang putih ke serata badan terutamanya di dada dan belakang badan.
Alhamdulillah, bangun tidur pagi Sabtu Hana dah kebah demam.

Penawar alami ini hanya rawatan awal. Kalau demam berlarutan lebih dari 3 hari, wajib membawa bayi ke klinik untuk rawatan selanjutnya.
12 April 2014
Jatuh Hati Dengan Minuman Yogurt Farm Fresh
Tetapi, sekarang saya dah jatuh hati dengan Yogurt Farm Fresh. Sangat kena dengan selera saya. Rasa kurang manis. Rasa yogurt tak terlalu masam. Rasanya seakan frozen yogurt Tutti Frutty.
Pada mulanya, saya beli satu botol Yogurt Farm Fresh ini sebab sekadar nak mencuba. Bila dah rasa, terus suka. Suami pun suka. Berebut lak minum. Hehe..

Setakat yang saya jumpa ada 3 pilihan iaitu original, mixed berries dan mango tango. Setelah mencuba semua pilihan perisa, saya lebih suka yang mixed berries. Rasanya lebih serasi.
Satu perkara yang paling penting, yogurt Farm Fresh menggunakan susu segar dan bukan pepejal susu.
Gembira sebab saya jumpa makanan yang serasi dengan saya untuk meningkatkan penghasilan susu.
Syukur.
18 March 2014
Perkara Penting Dalam Perjalanan Penyusuan
Apa yang saya belajar setakat 10 bulan:
1. Setiap orang tak sama. Ada sesetengah ibu, Allah berikan rezki susu meriah sampai tak cukup tempat nak simpan. Ada pula diberi susu yang cukup. Ya, yang penting cukup untuk anak.
Allah Maha Adil. Bersyukur.
Masing-masing ada rezki yang ditetapkan. Kalau sekali pam, dapat 2 oz. Jadi, kena gigih lagi mengepam hingga dapat jumlah yang disasarkan. Ok, ini saya. Pesanan kepada diri sendiri sebenarnya. Kena gagah dan gigih sentiasa.
2. Kosongkan Cik B paling lama setiap 3 jam. Kesilapan yang saya buat ialah kalau Hana menyusu hanya sebelah, saya tak mengepam lagi sebelah.
Salah ni.
3. Kerapkan tandem nursing untuk meningkatkan pengeluaran susu. Semasa dalam pantang hingga Hana dah dekat 4 bulan, saya tak pandai tandem. Kalau saya menyusukan Hana hanya sebelah sahaja, yang sebelah lagi saya tak tandem ataupun sekurang-kurangnya pam selepas Hana selesai menyusu.
Saya tak buat macam tu. Rugi...
4. Bangun mengepam pada waktu malam boleh dapat lagi banyak hasil. Saya dah tau tentang ini, tapi saya asyik gagal nak buat. Hormon yang menggalakkan susu adalah tinggi dalam tempoh jam 12 hingga 6 pagi. Jika dapat mengepam semasa tempoh ini, penghasilan susu lagi banyak.
Saya kena cuba buat. Kadang-kadang berjaya. Selalunya gagal... Cuba lagi.
Menjadi ummi memang kena gigih dan kuat semangat. Niat baik, Allah pasti tolong...

Ini pam Autumnz Passion. Saya beli masa Freestyle ada masalah. Saya bawa Freestyle ke Medela service centre. Rupanya, motor Freestyle rosak. Siap rosak motor, punyalah saya mengepam!
Bagus juga ada 2 pam. Mudah nak gilir-gilir guna. Passion saya guna di rumah. Freestyle pula di pejabat.
07 March 2014
Bagaimana Menyimpan Stok EBM
Ketahanan stok EBM yang dibekukan bergantung kepada jenis peti sejuk yang digunakan untuk penyimpanan. Oleh itu, stok EBM mesti digunakan mengikut tempoh di bawah:
1. Peti sejuk 1 pintu - 2 minggu
2. Peti sejuk 2 pintu - 3 bulan
3. Deep freezer - 6 bulan
Tempoh ini berbeza mengikut jenis peti sejuk disebabkan setiap setiap peti sejuk mempunyai keupayaan kawalan suhu yang berbeza. Tempoh peti sejuk 1 pintu paling pendek jangka hayat ketahanan EBM disebabkan setiap kali membuka pintu pet sejuk, suhu dalam peti ais akan turut terganggu.
Cara Penyimpanan
1. Tentukan bekas yang digunakan. Saya menggunakan plastic storage liner sebab lebih menjimatkan ruang.
2. Tentukan berapa oz untuk setiap stok.
Stok perlu dibekukan mengikut jumlah oz yang bayi minum bagi setiap sesi. Ini penting supaya memudahkan proses untuk menyediakan stok EBM ke rumah pengasuh nanti.
Sekarang saya tetapkan Hana minum 3.5oz setiap kali, jadi saya bekukan EBM 3.5oz juga untuk setiap stok. Ada juga stok yang tak cukup 3.5oz, saya simpan mengikut jumlah oz yang ada.
Bagaimana cara saya tentukan jumlah oz setiap kali minum?
Saya menggunakan proses cuba-jaya. Saya mula bekalkan Hana dengan 2oz. Kemudian, saya naikkan menjadi 2.5oz. Saya naikkan menjadi 3oz setelah pengasuh bagitahu nampak macam tak cukup satu botol sekali minum. Apa yang saya buat, saya akan naikkan jumlah oz untuk 2 atau 3 botol untuk 1 hingga 2 minggu. Bila dah stabil, baru saya naikkan jumlah oz untuk semua botol.
3. Tulis tarikh dan jumlah oz di bahagian atas storage liner. Potong bahagian atas storage liner mengikut tanda yang telah ditentukan.

4. Isikan EBM ke dalam storage liner.
Kadang-kadang ada EBM yang penuh dengan lemak berkrim, memang rasa sayang dan membazir kalau tak dapat simpan untuk dijadikan stok. Sebolehnya saya cuba isikan semua EBM daripada storage bottle ke dalam plastic liner.
Saya selalu tunggang storage bottle hingga menegak dan dirikan bottle ke dalam storage liner. Cara ini membantu lemak tadi turun ke dalam storage liner dengan lebih cepat. Tetapi, perlu sangat berhati-hati. Takut tumpah pula!

5. Apabila EBM selesai diisi, keluarkan semua udara daripada storage liner. Tujuan proses ini agar susu tidak rosak sebab udara ini mungkin ada bakteria yang boleh merosakkan susu.
6. Seal zip lock storage liner bila semuanya dah sempurna.

7. Simpan EBM ini ke dalam ruang beku peti sejuk. Saya susun EBM dalan rak kecil bagi memudahkan penyimpanan.
Setelah menggunakan cara ini, tiada lagi storage liner jatuh ke lantai bila saya buka ruang beku peti sejuk. Rak kecil itu saya beli di Daiso dengan harga RM5. Sebelum ini, saya label rak dengan tarikh. Sejak stok EBM menjadi cukup-cukup saja sekarang, saya dah tak buat pelabelan tersebut.

Itulah sahaja prosesnya. Tak sukar. Cuma perlu masa bertenang, tidak kelam kabut agar susu dapat disimpan dengan sempurna. Pastikan juga tangan dibasuh bersih sebelum memulakan semua proses di atas.
03 March 2014
Bagaimana Mengepam Susu di Pejabat
Bagaimana hendak mengepam/memerah susu di pejabat? Dulu, saya pun tertanya-tanya juga bagaimana kaedahnya. Susahkah? Leceh? Jujurnya, tak susah cuma sedikit renyah. Namun, ia masih boleh diuruskan. InsyaAllah.
1. Jadual pam
Berdasarkan pembacaan saya, ramai yang menyarankan susu mesti dikeluarkan paling lama setiap 2 jam. Kaedahnya samada menyusukan bayi ataupun mengepam. Maka, saranan ini saya gunakan untuk menetapkan jadual mengepam susu di pejabat seperti di bawah:
- Sesi 1: 8.30 pagi - power pumping
- Sesi 2: 10.30 pagi
- Sesi 3: 12.15 tengah hari
- Sesi 4: 2.30 petang
- Sesi 5: 4.00 petang
Ada juga sesi yang sela masa lebih daripada 2 jam.
2. Peralatan
Setiap hari ke pejabat, saya akan bawak backpack (beg laptop) yang diisi cooler bag, 6 botol untuk menyimpan susu yang diperah, set pam dan bra Simple Wishes. Ini adalah peralatan wajib.

Dalam cooler bag pula, saya muatkan 2 ketul ice pack yang besar dengan anggaran cukup untuk menyejukkan susu yang ingin disimpan.
3. Cara saya uruskan sesi mengepam
Proses pertama ialah pakai shawl untuk melindungi aurat, pakai bra simple wishes dan disempurnakan dengan kelengkapan mengepam. Biasanya, selepas sesi 1 saya tidak tanggalkan kelengkapan mengepam sebab sela masa hanya 1 jam. Jadi, saya berhentikan sahaja proses mengepam. Bila cukup saja waktu jam 10.30 pagi, saya mulakan sesi 2. Kalau hari saya malas atau khusyuk sungguh bekerja, saya biar sahaja kelengkapan ini hingga selesai sesi 3. Siap sesi 3 baru kelengkapan disimpan dalam cooler bag.
Saya mempraktikkan corong pam disimpan sahaja ke dalam cooler bag tanpa dibasuh. Setakat ini, ok. Belum pernah terjadi susu basi sebab corong tak basuh setiap kali sesi. Berdasarkan pembacaan, susu ibu ada antibakteria, jadi dalam suhu sejuk bakteria lagilah tidak dapat membiak. Begitulah lebih kurang maksudnya. Dengan menggunakan kaedah ini, saya boleh menjimatkan lebih masa dan tidaklah merasa renyah sangat nak kena kerap membasuh dan keringkan corong pam.

Beginilah rutin harian bagaimana saya mengepam di pejabat. Alhamdulillah, rutin tugas saya yang hampir 100% di ruang pejabat membolehkan saya pam 5 kali sehari di pejabat. Namun, kadang kala ada hari yang tidak dapat juga pam 5 kali jika hari yang ada mesyuarat. Mungkin dapat pam 3 kali sahaja. Purata hasil mengepam di pejabat ialah sebanyak 10 - 12 oz sehari. Hasil tak menentu bergantung kepada emosi juga. Sungguh! BF banyak bergantung kepada emosi. Kalau gembira, insyaAllah hasilnya lebih!
Hasil yang diperolehi daripada 5 kali sesi ini sebenarnya belum cukup untuk menampung bekalan Hana di rumah pengasuh. Oleh itu, saya sambung dengan sesi mengepam, tandem nursing atau marmet pula di rumah.
Saya masih berusaha untuk mencukupkannya. InsyaAllah, susu cukup untuk Hana.

Boleh baca juga cara penyediaan EBM ke rumah pengasuh
02 March 2014
Istilah Berkaitan Penyusuan

- BF - singkatan daripada breastfeeding; penyusuan
- EBM - expressed breastmilk; susu perahan
- frozen EBM - EBM yang beku
- fresh EBM - susu yang baru diperah
- tandem pumping - memerah susu sambil menyusukan bayi
- double pumping - pam kedua-dua belah serentak
- power pumping - teknik mengepam untuk meningkatkan penghasilan susu
- LDR - let down reflex; susu mula keluar
- chiller - rak di ruangan peti sejuk untuk menyejukkan
- freezer - ruangan sejuk beku
- cooler bag - beg yang digunakan untuk mengekalkan keadaan sejuk
- ice pack - pek ais yang diisi dalam cooler bag supaya keadaan dalam beg sejuk
Nanti saya tambah lagi jika ada yang tertinggal.
28 February 2014
Proses Penyediaan EBM ke Rumah Pengasuh
Prosesnya saya ringkaskan dalam senarai supaya mudah nak membacanya.
1. Setiap petang atau kadang-kadang lewat sedikit dalam jam 8 malam, saya akan keluarkan 4 keping stok frozen EBM. Saya masukkan dalam tupperware berisi air dan letak di ruangan chiller. Berdasarkan pemerhatian saya, sekitar jam 10 malam, EBM sudah pun mencair sepenuhnya.

2. Seterusnya, susu yang dah cair diisi ke dalam botol. Kalau sempat, sebelum tidur saya selesaikan siap-siap proses ini. Kalau tak, saya buat pagi esoknya. Saya isikan susu yang dah cair itu ke dalam 4 botol susu Hana. Saya sediakan 6 botol susu untuk 6 kali minum. 4 botol susu diisi susu yang dicairkan daripada stok EBM, lagi 2 pula susu yang baru diperah semalam (fresh EBM).
Botol bernombor 1 hingga 4 saya isi dengan susu yang dicairkan. Manakala selebihnya diisi dengan fresh EBM. Tujuan saya buat begini sebabnya sejak kebelakangan ini, kadang-kadang Hana hanya dapat habiskan 4 botol saja. Jadi, lagi 2 botol fresh EBM yang tak diminum boleh saya bekukan untuk menjadi stok.
Sebelum ini, saya isi botol 1 dan 6 dengan fresh EBM, sebab saya nak Hana minum awal pagi dengan susu yang fresh. Sejak Hana berubah jadi kurang minum susu pula sekarang ini, saya tukar susunan tersebut. Jadi, botol yang mana nak ditetapkan dengan susu fresh atau susu daripada yang dibekukan adalah terpulang kepada masing-masing. Tiada peraturan khas.
6 botol ini saya bekalkan siap dengan puting. Jadi, pengasuh hanya perlu panaskan saja bila Hana nak minum susu. Tak perlu nak basuh, tukar ganti puting dah.

3. Pagi sebelum ke tempat kerja, 6 botol susu dimasukkan dalam Coleman box yang dah diisi dengan pek ais secukupnya. Berat juga mengangkut Coleman box ini. Kakak sebelah rumah pengasuh tengok saya mengangkut box ni kata saya macam nak pergi piknik. Memang ada rupa tu pun..
Saya gunakan pek ais yang saya beli di Japan Home Centre. Murah dan tahan beku. Masih beku walaupun dah lebih 10 jam.


4. Susu disimpan saja dalam Coleman box tu, tak perlu dipindahkan ke peti ais rumah pengasuh. Saya lebih suka macam ni sebab terjamin keselamatan dan kebersihan susu.
Lain orang lain caranya. Baru-baru ini, semasa sesi berkenalan dengan pengasuh baru Hana, saya tanya Kak Idah samaada biasa tak uruskan bayi yang minum susu badan. Dia cakap biasa. Dia cerita sebelum ini ada juga mak yang hantar bayi yang menyusu badan dan stok susu akan disimpan di rumahnya. Memang penuh la peti ais tu. Kakak pengasuh cerita tu bukanlah merungut, cuma menceritakan pengalaman. Siap pernah susu yang cair tumpah. Ya la, kelam kabut kan dengar bayi menangis. Kadang-kadang tangan pun jadi tersilap cekau.
Berbalik kepada ayat di atas, lain orang lain caranya. Saya lebih suka memudahkan kerja pengasuh. Biar saya sediakan yang paling mudah untuk pengasuh. Kerja dia mudah, insyaAllah mudah dia nak menjaga Hana. Harapan saya begitu lah.
23 February 2014
Penyusuan, Breastfeeding dan Persediaannya
Pada permulaan memang ada sedikit kalut, namun lepas itu semuanya lancar. Syukur. Hana belum saya cuba beri sebarang makanan. Rasa hati saya, nak Hana exclusive breastfeeding hingga 2 tahun. InsyaAllah.
Semasa mengandung, saya banyak membaca tentang penyusuan susu ibu. Berdasarkan pembacaan saya, kalau nak berjaya dalam penyusuan:
1. Mindset kena tetap daripada awal. Tetapkan nak menyusu hingga bayi umur 2 tahun. Tak nak campur dengan susu formula. Breastfeeding 10% technical, 90% bergantung kepada mindset
2. Kuatkan hati, pekakkan telinga. Konsisten dengan apa yang dah kita faham
3. Rajin menambah ilmu, berkongsi dengan ibu yang lain
4. GIGIH, GIGIH, GIGIH demi anak.
5. Buang sifat malu dan malas. Janji apa yang dibuat itu tak melanggar syariat agama dan undang-undang.

Apa yang nak kena tahu:
1. Proses penyediaan stok EBM ke rumah pengasuh
2. Proses mengepam di pejabat
3. Bagaimana nak simpan stok EBM
4. Bagaimana nak cukupkan supply susu
Saya akan kongsikan satu persatu dalam senarai di atas. Perkongsian mengikut apa yang saya amalkan selama ini dan mungkin berlainan dengan orang lain.
InsyaAllah. Moga bermanfaat kepada yang memerlukan.
20 January 2014
Nursing In Public (NIP)
Seperti yang dijanjikan dalam perkongsian sebelum ini, saya nak bercerita tentang Nursing In Public (NIP). Sejak awal mengandung fikiran saya dah 'dibasuh', tak perlu malu nak NIP. Ini hasil daripada pembacaan di FB group KIM. Jadi, hari pertama saya keluar daripada rumah selepas tempoh berpantang, saya ke pejabat suami. Selamba saya NIP di depan rakan sepejabat lelaki.
Saya dah tetap dalam fikiran, boleh NIP janji aurat terjaga. Sejak jadi ummi ni, apa saja untuk Hana. Janji syariat terjaga dan tak langgar undang-undang. Malu tu tolak tepi.
Tetapi, baru-baru ni saya ada terbaca pendapat seorang lelaki yang dah bergelar bapa. Katanya, dia tak selesa tengok perempuan NIP. Alasannya, mungkin menyebabkan lelaki rasa 'terganggu'. Katanya lagi, lain lelaki lain keadaannya. Hmm.. termenung saya sekejap.
Saya akui, pendapat saya sebagai seorang ummi memang takkan telus. Bagi saya, tak selayaknya lelaki rasa terganggu bila tengok ibu NIP. Ini sebenarnya masalah lelaki itu sendiri. Allah jadikan anggota tubuh itu pun untuk tujuan sumber makanan anak. Inilah fitrah kejadian yang Allah dah aturkan. Yang membuat perkara ini jadi pelik adalah manusia. Selalu membuat label yang tak kena! Kepada lelaki yang berfikiran macam ini, saya cadangkan, ubah cara pemikiran tu.
Saya akan terus NIP janji syariat terjaga. Selepas ini, saya nak membeli baju nursing pula. Nak mula buat koleksi. Sebelum ni pakai ja baju yang ada. Mahal-mahal juga baju nursing ni.
Walaupun berani NIP, saya masih lagi malu nak pam secara terbuka di depan rakan lelaki. Belum lagi sampai keberanian tu. Mungkin sebab bunyinya kot. Susah nak cover. Nanti ramai yang perasan dan tercari-cari punca bunyi.
