22 May 2013

Pelbagai Rasa

Alhamdulillah, semuanya baik sahaja. Dr. Hamidah sahkan bayi sudah pun engage. Bayi pun sihat. Dr. Hamidah jangka EBW dalam 3.2 kg -3.4kg. Saya risau.. risau.. Besar juga bayi saya ni. Dalam saya menjaga makan pun bayi sihat dengan jayanya. Perut saya ni nampak kecil je.
Dr. Hamidah juga dah tetapkan jika tak bersalin juga, saya akan kena serah diri pada 29 Mei 2013 untuk induce. Perasaan? Takut, berdebar, risau.. runsing. Macam-macam saya baca tentang pengalaman ibu lain bila di-induce. Dengarnya, lagi sakit.
Besok saya akan ke pemeriksaan di KK pula. Boleh la saya tengok berapa berat bayi. Harap tak naik lah...
Saya berdoa sangat dapat bersalin dalam sehari dua ini. Dengan harapan dapat bersalin normal. Baby... cepat keluar k. Nanti ummi besarkan baby dengan susu ummi lak.. huhu..
Thummas sabila yassaroh...
Saya suka makan ABC masa mengandung. Sebab tu ke bayi berat ni....

21 May 2013

39 Minggu 3 Hari

Hari ini sudah 39 minggu 3 hari usia kandungan saya. Petang ini ada sesi temujanji untuk pemeriksaan dengan Dr. Hamidah. Berdebar pulak saya rasa... ermm...

Sekarang berdebar, risau menunggu tanda. Setakat ini belum lagi ada apa-apa tanda. Perut ada mengeras seperti biasa. Belum tahap konsisten pun lagi rasa tu. Bila baby nak keluar ni.. Seronok baby dalam perut ni ye.. Tiap-tiap hari ulang bercakap dengan baby. Baby keluar la.. bila dah ready.. huhu

Saya sangat berharap dapat bersalin normal. Berdoa sangat tak overdue. Lagi lama dalam ni, kemungkinan baby lagi membesar dengan jayanya. Tu yang berdebar nak pergi pemeriksaan hari ini. Berapa lak ye berat baby? Apa pulak kata Dr. hari ini... ermmm..

Permudahkanlah Ya Allah.... semuanya..
Thummas sabila yassaroh..

Dah rupa belacan dah buku pink saya ni...

15 May 2013

Kejutan! Bayi belum engage

Semalam saya ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan bagi usia kandungan 38 minggu dengan Dr. Hamidah. Seperti biasa memang lama menunggu. Tetapi semalam lagi lama menunggu berbanding sebelum ini. Memang begitulah selalunya, sebab pesakit di bawah Dr. Hamidah ini ramai. Menunggu lama.. tetapi sesi pemeriksaan sekejap saja. Dalam 5 minit saja saya rasa. Rasa sekejap sangat. Tetapi tak mengapa, saya faham sebab saya tiada apa-apa masalah sepanjang mengandung. Alhamdulillah. Jadi, pemeriksaan memang ringkasa saja. Baik masa tersebut dijimatkan supaya Dr. boleh periksa pesakit lain yang bermasalah dan perlu lebih perhatian.

Cuma semalam Dr. periksa perut saya dan maklumkan belum engage atau belum masuk ke dalam ruang pelvik. Saya memang jadi risau. Air mata ditahan masa bertanya dengan Dr. Hamidah ada kemungkinan tak lagi untuk engage. Dr. hanya sempat beritahu nanti kena cuba cara lain. Mungkin kena induce paksa dan bagi tips banyak berjalan. Rasa dah memang banyak berjalan dah ni.

Semalaman, saya asyik fikir dan juga google cerita tentang engage. Memang tak boleh nak elak la fikiran ini daripada risaukan tentang perkara ini. Risau kalau tak engage kena c-zer. Oh, saya berdoa sangat Allah mudahkan saya untuk bersalin normal. Doa saya setiap hari selepas solat, tak lepas.

Antara yang saya baca:
1. Ada bayi yang engage sebelum masuk labour room
2. Tak engage adalah normal. Bayi tahu bila masa sesuai untuk engage

Baca yang atas ni, buat hati saya rasa sedikit lega. Sedikit ja.. huhu.

Esoknya, saya ada pemeriksaan di KK pula. Saya agak kali ni tak perlu jumpa Dr. sebab minggu lepas dah jumpa. Jadi, hanya pemeriksaan oleh nurse dan ambil sampel urin ja. Tak perlu periksa darah. Agaknya sebab, 2 minggu sebelum itu dah periksa HB saya ok. 13.2.. memang tertinggi setakat ini. Alhamdulillah...
Nurse periksa saya.. semuanya ok. Saya tanyakan sama ada dah engage belum. Saya siap tanya lagi bagaimana tahu dah engage. Dia jawab bila dia periksa di bahagian bawah perut rasa ketat. Maknanya dah engage. Terus saya cakap semalam saya periksa dengan Dr., katanya belum engage. Nurse beritahu mungkin sebab masa tu pundi kencing penuh. Jadi, bayi tertolak ke atas sedikit.

Apapun, saya pegang pada jawapan nurse yang buat saya lega dah tak fikir bukan-bukan. Sekarang saya berdoa bayi keluar awal. Berharap sangat tidak overdue. Amin..

08 May 2013

Kejutan! Air Ketuban Kurang

Semalam saya ke pemeriksaan di KK Presint 3 Putrajaya. Ini bagi minggu yang ke 37. Dah 37 minggu.. Pemeriksaan urin saya gagal. Ada gula dalam urin. Ni gara-gara makan roti john dan air jagung, yang saya rasa kurang manis dah tu. Salah pilih menu sebenarnya sebab makan karbohidrat saja. Boleh kata takdak protin pun dalam menu tengah hari semalam. Sejak sampai hujung kehamilan ni, selera pun dah kurang. Sarapan pagi lagi lah tak tahu nak makan apa. Saya lagi selera makan buah macam buah pisang dan epal. 

Terbabas ke bab makanan lak.. Hehe.. Kembali ke cerita berkaitan tajuk perkongsian hari ini. Nurse periksa tinggi rahim dan dapat nilai 34 cm. Gagal juga di situ sebab sepatutnya tinggi rahim sama dengan jumlah minggu. Sepatutnya 37 cm lah. Tapi, memang dari awal mengandung perut saya ni kecil berbanding dengan orang lain. Kira gagal juga lah sebab tinggi rahim tak sepatutnya jadi saya kena lah jumpa Dr. semalam. Ikutkan tak perlu sebab minggu lepas dah jumpa.

Saya suka jumpa Dr. ni sebab Dr. yang selalu periksa saya tu sentiasa ceria. Jadi, memang tak stress la jumpa dia. Dr. Zahrina namanya kalau tak salah. Bagus la Dr. camni, hilang segala risau nampak muka dia. Dia baca apa yang nurse tulis dalam buku log mengandung saya tu. Tentang ada gula dalam urin tu tak berapa masalah sebab hanya +1 sahaja. Masih lagi sedikit, boleh dimaafkan. Yang tinggi rahim tu yang kena periksa untuk tahu kenapa jadi kecil. Dr. agak mungkin air ketuban kurang. 

Proses scan USG pun dibuat dan air ketuban dalam 7.9+. Seeloknya no indeksnya adalah 8 dan ke atas. Terus Dr. buat surat rujukan ke Hospital Putrajaya. Dr. siap beritahu kalau air ketuban kurang, mungkin kena paksa bersalin hari ini. Lagipun, baby saya memang dah cukup bulan. Saya memang dah cuak, sebab tak bersedia lagi. Banyak lagi persediaan yang belum lengkap. Aduh..

Sampai di Hospital Putrajaya, terus ke Dewan Bersalin. Alhamdulillah, semasa saya sampai ada 2 katil kosong di bilik penilaian. Sekejap saja tunggu, dah dapat masuk untuk proses pemantauan. Sebelum itu, saya diperiksa tekanan darah dan diminta buat pemeriksaan urin menggunakan urine drip (rasanya inilah namanya). Macam gagal ja bila tengok perubahan warna pada urine drip tu. Memang betul pun. Bila saya tengok hasil keputusan yang dicatit ada gula dan albumin dalam urin. Eh, ada albumin pulak. Kemudian, saya dipasangkan mesin CTG di perut untuk memantau jantung bayi. Alhamdulillah, jantung bayi ok. 



Ramai Dr. yang buat housemanship kat Hospital Putrajaya. Musim kot. Seorang Dr. ni datang temubual saya tentang latar belakang penyakit. Ada diabetes, darah tinggi, asma, alahan ubat? Alhamdulillah, saya tak ada semua tu. Dia pun pelik kenapa air ketuban saya kurang. Kemudian, dia nak buat VE. Oh, yang ini yang paling saya risau. Pengalaman pertama kali, saya tak dapat beri kerjasama. Dr. tu tak dapat buat. Alhamdulillah, ada hikmahNya. Sebabnya, selepas itu dia baru perasan saya mendaftar dengan skim FPP. Jadi, dia tak boleh buat pemeriksaan VE. Hanya MO sahaja yang boleh buat. Dipendekkan cerita, MO buat VE dan memang tiada sebarang kebocoran air ketuban.

Selesai pemeriksaan VE, saya menunggu Dr. Hamidah (Dr. yang saya pilih dalam skim FPP) untuk datang buat pemeriksaan menggunakan USG. Dr. Hamidah periksa semuanya ok. Air ketuban mencukupi dan dalam indeks 12. Tinggi rahim pun ok dalam 36 cm. Alhamdulillah, semua ok. Hilang terus kerisauan saya takut kena paksa bersalin. Dengarnya, kena paksa lagi sakit.
Saya balik dengan rasa lega.. 

Harap sampai masa bersalin nanti, semuanya mudah dan selamat.