Saya diserang demam denggi pada pertengahan bulan Januari yang lalu. Cukup 6 bulan yang lepas.
Semuanya bermula pada petang hari Isnin 12 Jun 2015, selepas minum water kefir (tanpa perisa tapi agak pekat), badan saya rasa seperti sengal-sengal. Seperti lemah. Saya hanya beranggapan ini hanya die off symptom hasil meminum water kefir. Pada yang belum tahu, apa itu water kefir, boleh google ok! Malam Isnin, rasa demam itu belum datang. Badan rasa seperti bukan dalam keadaan biasa.
Saya sudah mula demam. Saya tidak pergi bekerja. Saya ke Klinik Maria, dapatkan MC. Rasa badan agak lain macam. Saya dapat hanya sehari MC. Pada malam Selasa, badan rasa sangat berbisa. Rasa lenguh sendi seperti dicucuk-cucuk pun ada. Entah, saya tak tahu nak terangkan. Tetapi, yang hairan tiada bintik merah di badan saya. Jadi, Dr. memang yakin saya bukannya kena demam denggi.
Pada hari Rabu, saya ke klinik lagi untuk dapatkan MC. Kali ini , saya cuba untuk dapatkan MC dua hari sekaligus. Badan masih belum kuat nak bekerja. Rasa seperti perlu berehat lagi.
Selera makan memang semakin berkurang. Sehinggalah ke hari Khamis, saya ke klinik lagi untuk mengambil ujian darah. Hasil ujian mendapati platlet darah saya agak rendah. Dr. mengesyaki saya diserang demam denggi. Tapi, saya diminta untuk datang lagi esoknya dan ambil ujian darah kali kedua. Sekiranya, kadar platlet semakin jatuh, sahlah nampaknya saya diserang demam denggi.
Keesokkannya, saya ke klinik dan buat ujian darah seperti yang dipinta. Hasil ujian platlet saya menurun hingga ke bacaan 49. Dr. sediakan surat rujukan ke Unit Kecemasan, Hospital Putrajaya.
Saya dan suami terus ke Unit Kecemasan, Hospital Putrajaya. Sampai di sana hampir jam 11 pagi. Selesai mendaftar, kami terus menunggu dengan sabar. Agak lama, sehinggalah jam 3 petang baru saya dapat berjumpa Dr. yang bertugas. Memang ramai betul pesakit yang menunggu. Pesakit dikendalikan mengikut keutamaan kes.
Alhamdulillah, rasa sangat lega bila sampai giliran saya.
Saya disoal serba sedikit kemudian diminta ke Bilik Saringan Kecemasan (agakan saya saja nama bilik ini). Bilik ini sangat sejuk. Sejuk sangat sampai ke tulang. Saya dimasukkan air garam. Ada juga Dr. datang ambil sampel darah untuk ujian saringan denggi dan ujian untuk mengetahui bacaan platlet. Saya disoal oleh beberapa orang Dr. Akhirnya, saya perlu dimasukkan ke wad walaupun bacaan platlet darah saya tidak terlalu rendah. Puncanya, saya kedatangan cik P* lebih cepat daripada biasa.
Jujurnya, saya rasa lega dapat masuk wad. Sebabnya, saya memang rasa tersangat lemah. Dalam keadaan begini, pastinya saya sangat perlukan rehat yang cukup supaya saya akan cepat sembuh.
Dalam hati, saya fikirkan Hana. Bagaimana Hana malam ini? Hana tidur mengempeng. Tetapi, terpaksalah tinggalkan Hana agar saya cepat sembuh.
Hari Jumaat malam, suami datang ke wad bersama Hana. Duduk main sekejap dalam wad. Kemudian, saya minta suami pulang. Bimbang kesihatan Hana sebab ramai yang batuk-batuk dalam wad.
Sedih. Tapi, terpaksa saya tabahkan diri. Suami dan Hana balik berdua. Saya di wad nampaknya.
Malam pertama di wad tidur memang terganggu. Dahaga sangat air, tapi saya perlukan air suam. Saya sudah tidak boleh menelan air sejuk. Rasa nak muntah! Semasa dalam wad, Dr. akan datang setiap 4 jam untuk mengambil sampel darah. Tidur malam pertama di wad memang tidak lena.
Bangun pagi hari Sabtu, saya rasa sedikit segar. Alhamdulillah. Mungkin air garam yang dimasukkan membolehkan badan saya dapat bertahan sedikit.
Sepanjang hari, saya hanya baring di katil. Hendak membaca SMS pun sudah tidak bernafsu. Rasa seperti saya dalam dunia saya yang sedang bersedia sekiranya ajal saya sudah sampai. Begitulah fikiran saya pada ketika itu. Seharian di wad berbaring. Mandi pun tidak sebab saya malas nak mengangkut palang besi yang disangkut beg berisi air garam tu. Macam susahnya nak bergerak.
Tengah hari Sabtu. tiub yang menyalurkan air garam sudah boleh dibuka. Sangat lega! Barulah bebas bergerak.
Petang Sabtu, suami datang dengan Hana. Nampak saya Hana, 'susu, susu' yang disebutnya. Hana masih menyusu badan semasa saya diserang demam denggi. Saya teruskan penyusuan selepas saya membaca maklumat hasil Google, virus tidak akan boleh disebarkan melalui air susu kepada bayi. Saya tekadkan diri menyusu Hana seperti biasa. Alhamdulillah, Hana selamat.
Pada malam Sabtu, saya dipindahkan wad sebab katil di wad sedia ada sudah penuh. Ada pesakit baru hendak masuk. Memang penuh wad dengan pesakit kes demam denggi. Lagipun, keadaan saya dah beransur baik jadi boleh dipindahkan ke wad tingkat bawah. Tingkat 3, wad pembedahan jika betul memori saya.
Pada malam Sabtu, jiran sebelah rumah datang melawat dengan bekalan air 100 plus dan air mineral. Alhamdulillah, bersyukur sangat dia datang sebab saya memang perlukan air yang berperisa. Rasa lagi berselera minum air berperisa. Rupa-rupanya, jiran saya pun baru sahaja sembuh daripada demam denggi. Dia kena 2 minggu sebelum itu.
Malam Sabtu itu, saya dapat tidur dengan baik. Tiada lagi Dr. yang datang kejut untuk ambil sampel pada tengah malam. Saya dapat rehat yang lebih baik.
Pada hari Ahad, saya dapat berita gembira saya sudah boleh keluar daripada wad. Selepas Zuhur, saya balik ke rumah. Kepala masih pening-pening. Belum cergas sepenuhnya. Sesampai di rumah, Hana terus menangis bila nampak Ummi. Kesian Hana....
Hendak dijadikan cerita, selepas sembuh daripada demam denggi, saya terkena sakit mata. Dr, kata mungkin sebab sistem antibodi badan saya dalam keadaan lemah. Jadi, mudahlah mendapat jangkitan bakteria.
Dipendekkan cerita saya bercuti sakit 3 minggu, dan kembali bekerja pada awal Februari. Walaupun, sudah sembuh daripada demam denggi, badan masih belum cergas 100%. Badan mudah letih. Malam cepat sangat mengantuk. Mata sudah berat walaupun baru jam 9 malam,
Selepas 3 bulan iaitu dalam bulan April barulah saya rasa cergas seperti dulu. Tiada lagi, rasa pening-pening atau seperti tidak boleh fokus.
Alhamdulillah. Pengalaman yang berbeza.
Semasa saya terbaring di wad, saya berfikir untuk berhenti menulis blog. Entah, masa itu saya terfikir adakah saya menulis di sini seperti saya ingin menunjuk-nunjuk? Persoalan ini antara sebab juga kenapa lama saya menyepi. Hinggalah suatu hari, saya fikir alangkah gembiranya jika saya berkongsi info yang dapat membantu orang lain.
Hasil pengalaman ini, saya belajar:
1. Boleh menyusu bayi. InsyaAllah virus tak disebarkan melalui air susu. Kecuali, jika bayi pun dihinggapi nyamuk aedes. Mungkin, bayi diserang demam denggi juga
2. Bila kita sakit, semua teknologi tidak bermakna lagi. Saya paling tidak suka tengok handphone pada masa itu. Biar ja handphone. Tengok pun sekadar nak bertanya khabar suami dan Hana
3. Minum sup ketam insyaAllah mudah dan cepat sembuh.
4. Tiada bintik merah bukan bermakna anda tidak kena demam denggi. Simptom demam denggi telah berubah. Sebaiknya, buat saringan denggi dengan cepat. Ada sesetengah klinik menyediakan ujian saringan ini.
5. Tempoh penyembuhan mengambil masa yang lama. Bersabarlah. Semua orang di sekeliling mesti bersabar.
6. Bersabar juga dengan kerenah yang dilalui di hospital. Saya dapat juga Dr. yang belum mahir mengambil sampel darah. Baru belajar agaknya. Tahan sajalah sakit...
7. Banyakkan minum air berjus atau bermineral supaya badan mudah melawan penyakit
8. Nyamuk aedes boleh membiak di mana-mana jenis takungan air. Dalam kes saya, nyamuk membiak dalam takungan baldi yang berisi sabun. Saya ada rendam kain buruk dalam tu. Hari Sabtu sebelumnya, saya tuangkan air dan basuh baldi itu sebersih-bersihnya. Mungkin, saya dijangkiti nyamuk yang membiak dalam air sabun itu. Memang tak sangka pulak...
9. Berdoa, biarlah saya saja yang sakit. Bukan Hana. Bukan suamiku...
Alhamdulillah, makbul doa saya..
No comments:
Post a Comment