31 May 2014

Hana Nur Widad Sudah Setahun

Alhamdulillah, 25 Mei 2014 yang lalu Hana sudah pun setahun umurnya. Dalam tahun Hijrah, Hana cukup setahun pada 15 Rejab 1435H bersamaan 15 Mei 2014. Cepat masa bergerak. Walaupun dah setahun, saya masih rasa Hana baby lagi. Huhu...

Mengenang setahun yang lepas, banyak yang mematangkan kami berdua sebagai ummi dan babahnya. Alhamdulillah. Ummi yang sebelum ada anak, memang tak pandai pegang baby kecil yang baru lahir. Takut. Nampak fragile sangat.

Bila sampai saja Hana, semua jadi berani. Pada hari kelapan (setelah mak balik kampung), saya yang memandikan Hana dalam besen kecil yang diletakkan dalam sinki di dapur. Terkial-kial juga. Babah lagilah tak berani pegang. Tak tahu macam mana nak dukung. Risau takut Hana sakit.

3 bulan pertama semasa cuti bersalin adalah momen yang bermakna sebab saya bersama Hana 24 jam.

Sekarang.. tak lagi.. *sedih..

3 bulan pertama, dapat tengok senyuman Hana yang pertama semasa umur 28 hari. Dapat tengok juga cubaan nak meniarap. Kemudian, berguling, mengengsot dan sekarang merangkak, berdiri. InsyaAllah tak lama nanti Hana boleh berjalan.

Setakat setahun pertama, Hana dah bertukar 4 pengasuh dan 2 taska. Pengasuh yang pertama memang yang terbaik. Tiada galang gantinya buat setakat ini. Rezki Hana dijaga pengasuh pertama hanya hingga umur Hana 8 bulan.

Kadang-kadang bila teringat hari terakhir berjumpa kak pengasuh yang pertama tu, saya masih boleh bergenang air mata. 5 bulan ummi berulang alik hantar Hana ke Presint 9. Jauh juga, tapi demi Hana bahagia, semuanya boleh.

Sekarang Hana dah pandai merajuk kalau ummi tak sempat nak melayan Hana. Walaupun Hana dah setahun, saya masih belum cekap lagi nak menguruskan rutin harian. Banyak lagi yang kurang. Saya masih berusaha untuk sempurnakan semuanya.

Alhamdulillah, Hana masih full BF. Belum lagi diberi makanan. Minggu ini agak mencabar bagi saya sebab stok frozen EBM dah habis. Setiap hari, terpaksa bergantung kepada stok perahan harian sahaja. Hasil perahan di pejabat dalam 10oz sahaja tetapi demand Hana 17.5oz. Lagi 7.5oz kena dapatkan di rumah. Setakat ini belum berjaya. Ya Allah. Kuatkan semangat diriku. Hukhuk.

Sedikit demi sedikit kami belajar. Pengalaman dari hari ke sehari.

Menjadi ibu bapa suatu perjalanan. Laluan yang saya pilih memang tak sama dengan pilihan orang lain. Saya tak memilih pilihan seperti mereka bukan sebab itu tidak baik cuma saya percaya apa yang saya buat untuk Hana adalah yang terbaik, yang boleh saya usahakan.


Selamat Hari Lahir Hana Nur Widad.
Jadilah anak yang solehah, beriman, kesayangan ummi dan babah dunia akhirat.

Amin.

:)

26 May 2014

Perbandingan Medela Freestyle dengan Autumnz Passion

Saya membeli satu lagi pam baru, Autumnz Passion (Passion) disebabkan Medela Freestyle (FS) ada masalah. Tiba-tiba suction FS menjadi kurang. Jadi, saya agak memang ada yang tak kena. Saya bawak pam ke Medela Service Centre untuk diperiksa. Rupanya, motor dah rosak. Inilah puncanya suction makin kurang. Mujur masih ada waranti, jadi dapat pam baru.



Ada komen daripada Puan Hana bertanya tentang perbandingan kedua-dua pam ini di perkongsian ini. Perkongsian ini khas untyk menjawab soalan itu.

1. FS ada rechargeable battery, maksudnya bateri boleh dicaj semula dan guna pam di mana-mana tanpa perlu cari power elektrik. Passion pula ada slot untuk bateri 2×AA.

Sekarang ini, saya perasan ada trend guna Passion dengan power bank. Cuma perlu cari cable adaptor saja. Tentang ketahanan power bank dengan berapa kali pam saya tak pasti berapa lama.

2. Suction FS pendek- pendek tapi kerap. Passion pula suction jenis tarik panjang dan lepas. Saya amik masa dekat seminggu baru dapat serasi dengan perbezaan ini.

Suction Passion lagi kuat banding FS.

3. Passion ada 2 motor jadi boleh pilih-pilih tekan saja menu nak pam sebelah saja atau bergilir-gilir. FS pam yang ada satu motor sahaja.

4. Kekuatan bunyi pula bagi saya dua-dua lebih kurang saja kuatnya bunyi. Bunyi FS kerap, bunyi Passion pula panjang tapi ada sela masa sedikit antara bunyi.

5. Prestasi pam rasanya hampir sama. Dengan Passion saya lagi cepat dapat LDR. Mungkin sebab dengar bunyi air susu tu menitik ke dalam botol, boleh membuatkan rasa lagi gembira. Maka susu lagi mudah terhasil. Hehe..

6. Corong pam FS lagi mudah nak basuh dibandingkan dengan Passion.



7. Passion adalah heavy duty pam. Bagi saya, FS tidak. Kalau tengok manual FS, ada tulis nota kecil FS dianggarkan kegunaan untuk berapa kali sehari untuk berapa minit dalam setahun.

The Freestyle operating life is defined to be approximately three 15 minute sessions per day, for one year.

Selepas saya baca nota ini, barulah saya faham kenapa motor pam saya rosak. Hmm..

Pada mulanya, saya rasa agak menyesal membeli Passion. Tetapi, setelah seminggu saya guna juga, rasa serasi dengan pam. Tak mengecewakan dengan prestasi pam dan hasil yang saya dapat.

Bagi saya, tak rugi beli pam ini kalau dibandingkan dengan harga dan fungsi yang Passion ada. Walau bagaimanapun, prestasinya tetap bergantung kepada keserasian masing-masing.

19 May 2014

Mother's Instinct atau Naluri Ibu

Hari ini terbukti naluri ibu itu sangat hebat.

Ada sesuatu yang saya meneka selama ini, rupanya betul. Setelah 'risikan' dibuat, terbukti tekaan saya benar. Alhamdulillah, Allah melorongkan hati saya untuk membuat risikan.

Sumber: Google

Lama juga terdetik hendak bertanya, tapi saya masih berharap sangkaan saya itu salah. Maka saya menangguhkan untuk menyiasat.

Syukur, perkara sebenar sudah diketahui.



Peliharalah Hana daripada sebarang gangguan syaitan, manusia dan segalanya...!

Amin.

17 May 2014

Jalan-Jalan di KLIA2

Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA2) baru dibuka pada 2 Mei 2014 yang lalu. Kami memang teruja nak ke sana. Ada tengok lintas langsung dalam TV tentang KLIA2, nampak KLIA2 menarik untuk dikunjungi. Jadi, cuti hari Wesak yang lepas kami pun ke sana.

Awal-awal pagi dah bertolak ke ERL Putrajaya. Letak kereta di sana dan ke KLIA2 dengan ERL sahaja. Tiket sehala hanya RM6.20. Ini pengalaman pertama Hana menaiki keretapi.

Perjalanan ke sana mengambil masa dalam 15 minit. Sesampainya di sana memang kagum. Banyaknya kedai. Kemudahan memang sangat mencukupi. Tandas disediakan di setiap aras mudah ditemui. Luas dan selesa. Penunjuk jalan pun banyak.





Kemudahan bilik bayi disediakan bersebelahan setiap kemudahan tandas. Cantik! Saya sempat masuk dua bilik bayi. Dekorasi lain! Agaknya setiap bilik bayi lain kot dekorasinya!




Pihak MAHB menyediakan pegawai khidmat pelanggan yang membawa sepanduk 'Ask Me', hampir di semua lokasi penting dalam KLIA2. Tanyalah apa sahaja, mereka mesti ada jawapan yang tepat. Kagum tengok semangat pegawai ini. Berdiri di tengah-tengah laluan berjam-jam, tapi masih senyum dan ramah melayan soalan pengunjung KLIA2.









Kiosk direktori pun turut disediakan di setiap aras. Kami mencubanya dan memang berfungsi dengan baik.




Di KLIA2 ada ruangan seperti anjung yang membolehkan pengunjung melihat suasana lapangan kapal terbang. Saya tak dapat ke hujung anjung disebabkan di sana adalah zon merokok. Saya ambil gambar dari jauh sahaja.





Kemudahan mesin ATM pun banyak disediakan. Memang mudah banyak habis duit kat sini. Haha..




Orang ramai juga tapi tak rasa sesak. Masih lagi rasa selesa.






Cantik bahagian atas kaunter daftar masuk bagasi ini. Ada macam rupa cendawan.





Rekabentuk dan perincian dekorasi di KLIA2 memang unik. Siling pintu masuk ruang perlepasan antarabangsa ini pun cantik.





Ruang tempat duduk yang disediakan jenis begini sahaja. Ada yang buat tempat tidur terus.




Ada Jaya Grocer.



Juga kedai yang saya tak pernah dengar namanya pun sebelum ini.







Wajib ambil gambar di sini. Hehe.




KLIA2 memang menarik. Semuanya ada. Yang tiada hanya panggung wayang dan pusat boling sahaja. Ia seperti pusat membeli belah yang ada lapangan terbang. Kami akan ke sana lagi. Masih ada lagi kedai yang belum beroperasi. Pastinya lagi meriah bila semua ruangan kedai beroperasi.