03 June 2014

Belajar Erti Hidup Susah



Ini pen yang saya ingat lagi masa darjah 6 ada seorang kawan saya pakai pen ini. Seronok ja saya tengok dia pakai pen berwarna-warni. Saya tak mampu beli. Kawan saya bolehlah beli sebab bapa dia pegawai di Lembaga Pertubuhan Peladang. Bapa saya penoreh getah, memang duit tak akan berlebih nak beli benda sebegitu.

Saya faham, dilahirkan dalam keluarga yang kurang berada dengan adik beradik yang ramai, kami sudah diajar erti susah. Diajar juga erti bertolak ansur untuk orang lain. Tak kisah susah, janji tak menyusahkan orang lain.

Alhamdulillah, saya mendapat tawaran bersekolah menengah di sekolah berasrama di Alor Setar. Saya masih ingat lagi. Mak sewa teksi untuk bawa saya ke sekolah tersebut. Kami pergi dengan adik saya dua orang. Selesai saja urusan penempatan saya di asrama, mak terus pulang dengan teksi itu juga. Itulah kali pertama dan terakhir mak ke sekolah itu. Maklumlah, kami tiada kereta.

Saya hidup berdikari sejak bersekolah menengah. Ayah berikan wang saku untuk yuran asrama dan bakinya untuk tambang balik kampung setiap bulan. Pendapatan penoreh getah kan mengikut cuaca. Memang berjimat. Saya tak pernah makan KFC semasa di sekolah menengah. Masa tu, KFC adalah makanan mewah la kan. Makanan saya apa yang disediakan di dewan makan asrama. Jarang benar saya membeli makanan di kantin sekolah.

Setiap kali cuti panjang hujung tahun, barang kegunaan saya terpaksa tumpang kawan bawa balik ke rumahnya. Nanti tahun depan bila masuk asrama, saya ambillah semula barang saya tu daripada kawan saya. Inilah caranya sehinggalah tamat tingkatan 5. Tiada cara lain, saya pulang dulu ke rumah dengan bas, mengangkut mana-mana barang yang penting dulu. Tak lama lepas tu saya ke asrama sekolah semula dengan menaiki bas seorang diri untuk angkut barang yang saya tinggalkan. Rupanya, barang tu semua dah dikemaskan.

Kampung saya ini walaupun dekat dengan bandar Kulim, tapi lambat juga mendapat kemudahan telefon. Masa mula-mula di tingkatan 1, saya siap tulia surat ke kampung untuk beritahu tarikh saya boleh pulang ke kampung. Tujuannya, agar ayah saya boleh tunggu saya di kedai berdekatan jalan besar. Kalau tidak, saya terpaksa la berjalan kaki ke rumah hampir 5km juga daripada jalan besar. Alhamdulillah, kebiasaanya di pertengahan jalan akan ada yang pelawa untuk tumpangkan.

Semasa hendak masuk Universiti, hendak dijadikan cerita surat tawaran saya ke U lambat sampai. Akhirnya, saya menumpang keluarga kawan saya ke Seremban. Setelah nama saya dah pasti ada dalam senarai pelajar di kolej itu, mereka terus bergerak ke sekolah kawan saya pula. Ya la, nak uruskan pendaftaran kawan saya pula kan. Bila tengok orang lain dengan keluarga, sebak betul dada ni. Tapi saya boleh tahan lagi sehinggalah malam itu saya telefon mak. Terus menangis, tak boleh nak simpan lagi.

Bila masuk U, alhamdulillah ok sedikit tapi masih berjimat juga. Sejak masuk U, saya dah tak minta lagi duit mak ayah. Bagaimana susah pun, saya hanya guna duit PTPTN sahaja untuk hidup. Saya tak sanggup nak minta duit mak ayah.

Walaupun susah, besar ertinya. Saya kenal sikap tak putus asa selagi saya tak dapat apa yang saya nak.

Saya jadi cekal. Walaupun saya menangis saya tetap kuat. Saya berani. Saya tetap dengan keputusan yang saya sudah buat.

Terima kasih dengan pengalaman ini.

Sesungguhnya, ramai lagi yang lebih sukar hidupnya dari yang saya rasa.

Alhamdulillah.

Moga Allah ampunkan dosa kedua ibu-bapa saya dan kasihanilah mereka seperti mereka mengasihi saya semasa saya kecil.. Amin..


No comments:

Post a Comment