14 July 2015

Perjalanan Penyusuan Hana Hingga 2 Tahun

Cepat masa bergerak. Hana sudah pun 2 tahun. Secara tepatnya, Hana sudah pun 2 tahun 1 bulan 20 hari.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Perjalanan menyusukan Hana berjaya sehingga umurnya 2 tahun. Saya katakan ini bukan bermaksud saya berbangga. Hanya sekadar coretan syukur sebagai kenangan saya. Mungkin juga, perkongsian ini boleh memberikan saya semangat untuk perjalanan penyusuan anak seterusnya. InsyaAllah, jika ada rezeki daripada Allah.

Perjalanan ini bukannya mudah. Memang daripada awal, semua orang katakan perkara yang sama. BF boleh dibuat tetapi bukan mudah. Sangat betul. Kepayahan itu mungkin berbeza mengikut individu. Payah itu mungkin  juga ujian Allah untuk menguji tahap kita jua.

Akhirnya, pada 30 April 2015, adalah hari terakhir saya membawa gajet mengepam ke pejabat. Ada gambar kenangan set gajet ini saya rakamkan. Inilah barang yang saya gendong di pejabat setiap hari. Memang berat beg yang digendong. Beg disangkut di bahu kiri dan kanan. Setiap hari saya akan bawa 3 buah beg ke pejabat. Beg tangan, beg laptop dan beg susu.

Dengar BF untuk 2 tahun rasa macam sangat lama. Tapi, saya rasa macam cepat juga. Membilang hari setiap hari. Tengok-tengok Hana sudah pun 6 bulan, kemudian 1 tahun. Sedar tak sedar dah pun 2 tahun.

Pengalaman saya sepanjang perjalanan penyusuan ini.

1. Banyak cabaran hebat untuk BF. Cekal, tabah mesti ada. Biar apa yang orang kata, janji kita buat apa yang betul Allah suruh.

2.  Banyakkan membaca untuk dapatkan tips, semangat baru ataupun idea baru. Mungkin ada cara yang kita amalkan itu salah. Jadi, dengan membaca pengalaman orang lain, kita boleh memperbaiki diri.

3. Berusahalah sehabis baik. Saya pun pernah merasa sangat kecewa. Pernah juga putus asa. Sekali pam hanya dapat 2 oz. Bagaimana hendak mencukupkan bekalan susu sehari 16 oz? Saya tambah kekerapan mengepam. Bangun jam 2 pagi. Bila pam, dapat 1 oz sahaja. Tertekan hanya Allah saja yang tahu. Tapi, saya degil. Tetap nak teruskan walaupun saya sedar penghasilan susu saya tidak cukup untuk Hana.

Banyak silap saya agaknya sebab itu rezki susu saya kurang. Saya cuba bertahan dengan apa yang ada.

4. Guna pam yang sesuai. Bila banding Medela dengan Autumnz Passion saya rasa saya lebih sesuai dengan Passion. Penghasilan susu pun dapat lebih berbanding menggunakan Medela. Walaupun begitu, saya bawak Medela untuk digunakan di pejabat disebabkan kelebihan bateri yang boleh dicaj semula.

Perkongsian ini bukan dengan niat mengatakan ibu yang BF lebih baik daripada ibu yang memberikan bayi FM. Bagi saya, Allah beri saya rezki susu, saya cuba berikan hak itu pada Hana semampu yang boleh.













13 July 2015

Saya Diserang Demam Denggi!

Saya diserang demam denggi pada pertengahan bulan Januari yang lalu. Cukup 6 bulan yang lepas.


Semuanya bermula pada petang hari Isnin 12 Jun 2015, selepas minum water kefir (tanpa perisa tapi agak pekat), badan saya rasa seperti sengal-sengal. Seperti lemah. Saya hanya beranggapan ini hanya die off symptom hasil meminum water kefir. Pada yang belum tahu, apa itu water kefir, boleh google ok! Malam Isnin, rasa demam itu belum datang. Badan rasa seperti bukan dalam keadaan biasa.

Saya sudah mula demam. Saya tidak pergi bekerja. Saya ke Klinik Maria, dapatkan MC. Rasa badan agak lain macam. Saya dapat hanya sehari MC. Pada malam Selasa, badan rasa sangat berbisa. Rasa lenguh sendi seperti dicucuk-cucuk pun ada. Entah, saya tak tahu nak terangkan. Tetapi, yang hairan tiada bintik merah di badan saya. Jadi, Dr. memang yakin saya bukannya kena demam denggi.

Pada hari Rabu, saya ke klinik lagi untuk dapatkan MC. Kali ini , saya cuba untuk dapatkan MC dua hari sekaligus. Badan masih belum kuat nak bekerja. Rasa seperti perlu berehat lagi.

Selera makan memang semakin berkurang. Sehinggalah ke hari Khamis, saya ke klinik lagi untuk mengambil ujian darah. Hasil ujian mendapati platlet darah saya agak rendah. Dr. mengesyaki saya diserang demam denggi. Tapi, saya diminta untuk datang lagi esoknya dan ambil ujian darah kali kedua. Sekiranya, kadar platlet semakin jatuh, sahlah nampaknya saya diserang demam denggi.

Keesokkannya, saya ke klinik dan buat ujian darah seperti yang dipinta. Hasil ujian platlet saya menurun hingga ke bacaan 49. Dr. sediakan surat rujukan ke Unit Kecemasan, Hospital Putrajaya.
Saya dan suami terus ke Unit Kecemasan, Hospital Putrajaya. Sampai di sana hampir jam 11 pagi. Selesai mendaftar, kami terus menunggu dengan sabar. Agak lama, sehinggalah jam 3 petang baru saya dapat berjumpa Dr. yang bertugas. Memang ramai betul pesakit yang menunggu. Pesakit dikendalikan mengikut keutamaan kes.

Alhamdulillah, rasa sangat lega bila sampai giliran saya.

Saya disoal serba sedikit kemudian diminta ke Bilik Saringan Kecemasan (agakan saya saja nama bilik ini). Bilik ini sangat sejuk. Sejuk sangat sampai ke tulang. Saya dimasukkan air garam. Ada juga Dr. datang ambil sampel darah untuk ujian saringan denggi dan ujian untuk mengetahui bacaan platlet. Saya disoal oleh beberapa orang Dr. Akhirnya, saya perlu dimasukkan ke wad walaupun bacaan platlet darah saya tidak terlalu rendah. Puncanya, saya kedatangan cik P* lebih cepat daripada biasa.

Jujurnya, saya rasa lega dapat masuk wad. Sebabnya, saya memang rasa tersangat lemah. Dalam keadaan begini, pastinya saya sangat perlukan rehat yang cukup supaya saya akan cepat sembuh.

Dalam hati, saya fikirkan Hana. Bagaimana Hana malam ini? Hana tidur mengempeng. Tetapi, terpaksalah tinggalkan Hana agar saya cepat sembuh.

Hari Jumaat malam, suami datang ke wad bersama Hana. Duduk main sekejap dalam wad. Kemudian, saya minta suami pulang. Bimbang kesihatan Hana sebab ramai yang batuk-batuk dalam wad.

Sedih. Tapi, terpaksa saya tabahkan diri. Suami dan Hana balik berdua. Saya di wad nampaknya.

Malam pertama di wad tidur memang terganggu. Dahaga sangat air, tapi saya perlukan air suam. Saya sudah tidak boleh menelan air sejuk. Rasa nak muntah! Semasa dalam wad, Dr. akan datang setiap 4 jam untuk mengambil sampel darah. Tidur malam pertama di wad memang tidak lena.

Bangun pagi hari Sabtu, saya rasa sedikit segar. Alhamdulillah. Mungkin air garam yang dimasukkan membolehkan badan saya dapat bertahan sedikit.

Sepanjang hari, saya hanya baring di katil. Hendak membaca SMS pun sudah tidak bernafsu. Rasa seperti saya dalam dunia saya yang sedang bersedia sekiranya ajal saya sudah sampai. Begitulah fikiran saya pada ketika itu. Seharian di wad berbaring. Mandi pun tidak sebab saya malas nak mengangkut palang besi yang disangkut beg berisi air garam tu. Macam susahnya nak bergerak.

Tengah hari Sabtu. tiub yang menyalurkan air garam sudah  boleh dibuka. Sangat lega! Barulah bebas bergerak.

Petang Sabtu, suami datang dengan Hana. Nampak saya Hana, 'susu, susu' yang disebutnya. Hana masih menyusu badan semasa saya diserang demam denggi. Saya teruskan penyusuan selepas saya membaca maklumat hasil Google, virus tidak akan boleh disebarkan melalui air susu kepada bayi. Saya tekadkan diri menyusu Hana seperti biasa. Alhamdulillah, Hana selamat.

Pada malam Sabtu, saya dipindahkan wad sebab katil di wad sedia ada sudah penuh. Ada pesakit baru hendak masuk. Memang penuh wad dengan pesakit kes demam denggi. Lagipun, keadaan saya dah beransur  baik jadi boleh dipindahkan ke wad tingkat bawah. Tingkat 3, wad pembedahan jika betul memori saya.

Pada malam Sabtu, jiran sebelah rumah datang melawat dengan bekalan air 100 plus dan air mineral. Alhamdulillah, bersyukur sangat dia datang sebab saya memang perlukan air yang berperisa. Rasa lagi berselera minum air berperisa. Rupa-rupanya, jiran saya pun baru sahaja sembuh daripada demam denggi. Dia kena 2 minggu sebelum itu.

Malam Sabtu itu, saya dapat tidur dengan baik. Tiada lagi Dr. yang datang kejut untuk ambil sampel pada tengah malam. Saya dapat rehat yang lebih baik.

Pada hari Ahad, saya dapat berita gembira saya sudah boleh keluar daripada wad. Selepas Zuhur, saya balik ke rumah. Kepala masih pening-pening. Belum cergas sepenuhnya. Sesampai di rumah, Hana terus menangis bila  nampak Ummi. Kesian Hana....

Hendak dijadikan cerita, selepas sembuh daripada demam denggi, saya terkena sakit mata. Dr, kata mungkin sebab sistem antibodi badan saya dalam keadaan lemah. Jadi, mudahlah mendapat jangkitan bakteria.

Dipendekkan cerita saya bercuti sakit 3 minggu, dan kembali bekerja pada awal Februari. Walaupun, sudah sembuh daripada demam denggi, badan masih belum cergas 100%. Badan mudah letih. Malam cepat sangat mengantuk. Mata sudah berat walaupun baru jam 9 malam,

Selepas 3 bulan iaitu dalam bulan April barulah saya rasa cergas seperti dulu. Tiada lagi, rasa pening-pening atau seperti tidak boleh fokus.

Alhamdulillah. Pengalaman yang berbeza.

Semasa saya terbaring di wad, saya berfikir untuk berhenti menulis blog. Entah, masa itu saya terfikir adakah saya menulis di sini seperti saya ingin menunjuk-nunjuk? Persoalan ini antara sebab juga kenapa lama saya menyepi. Hinggalah suatu hari, saya fikir alangkah gembiranya jika saya berkongsi info yang dapat membantu orang lain.


Hasil pengalaman ini, saya belajar:

1. Boleh menyusu bayi. InsyaAllah virus tak disebarkan melalui air susu. Kecuali, jika bayi pun dihinggapi nyamuk aedes. Mungkin, bayi diserang demam denggi juga

2. Bila kita sakit, semua teknologi tidak bermakna lagi. Saya paling tidak suka tengok handphone pada masa itu. Biar ja handphone. Tengok pun sekadar nak bertanya khabar suami dan Hana

3. Minum sup ketam insyaAllah mudah dan cepat sembuh.

4. Tiada bintik merah bukan bermakna anda tidak kena demam denggi. Simptom demam denggi telah berubah. Sebaiknya, buat saringan denggi dengan cepat. Ada sesetengah klinik menyediakan ujian saringan ini.

5. Tempoh penyembuhan mengambil masa yang lama. Bersabarlah. Semua orang di sekeliling mesti bersabar.

6. Bersabar juga dengan kerenah yang dilalui di hospital. Saya dapat juga Dr. yang belum mahir mengambil sampel darah. Baru belajar agaknya. Tahan sajalah sakit...

7. Banyakkan minum air berjus atau bermineral supaya badan mudah melawan penyakit

8. Nyamuk aedes boleh membiak di mana-mana jenis takungan air. Dalam kes saya, nyamuk membiak dalam takungan baldi yang berisi sabun. Saya ada rendam kain buruk dalam tu. Hari Sabtu sebelumnya, saya tuangkan air dan basuh baldi itu sebersih-bersihnya. Mungkin, saya dijangkiti nyamuk yang membiak dalam air sabun itu. Memang tak sangka pulak...

9. Berdoa, biarlah saya saja yang sakit. Bukan Hana. Bukan suamiku...

Alhamdulillah, makbul doa saya..


Kembali Selepas Lama Hilang

Assalamualaikum,

Memang terlalu lama saya tidak menulis di blog ini. Perkongsian terakhir tentang resepi muffin coklat tanpa telur dan gula. Resepi itu menghasilkan muffin yang agak padat tau! Tak berapa menjadi lah sebenarnya. Jangan guna resepi itu ye. Kalau saya sudah berjaya jumpa resepi yang lebih baik, nanti saya kongsikan.

Saya sudah lama menyepi. 6 bulan blog ini ditinggalkan. Dalam tempoh ini, pelbagai perkara yang berlaku. Saya diserang demam denggi pada minggu kedua Januari. Selepas demam denggi, bersambung dengan terkena sakit mata. Hampir 3 minggu saya bercuti. Saya akan kongsikan kisah pengalaman semasa diserang demam denggi itu nanti. Satu pengalaman yang baru.

Masuk bulan Februari, urusan seharian agak sibuk. Hana sudah ke taska baru. Sibuk dengan pelbagai perkara, lama-kelamaan, blog ini ditinggalkan.

Sekarang, saya kembali. Harapannya, akan giat menulis seperti dulu. Mungkin, tajuk perkongsiannya agak berlainan sedikit. Tapi, saya berharap masih bermanfaat kepada yang membacanya nanti.

Sumber: Google



04 January 2015

Resepi Muffin Coklat Tanpa Telur, Tanpa Gula

Hasil carian di Google, saya jumpa resepi muffin coklat tanpa telur. Muffin ini nak bagi Hana makan juga. Saya cuba olah tukar gula dengan madu sebab Hana belum lagi makan gula. Hasil percubaan pertama, menjadi resepi ini. Ada lagi yang perlu diperbaiki sebab ada bahan yang terlupa pula nak masukkan pada percubaan kali pertama.



Resepi Muffin Coklat Tanpa Telur, Tanpa Gula

Bahan A
3/4 cawan tepung gandum
2 1/2 sudu serbuk koko
1/2 cawan gula -saya ganti dengan madu, kurangkan 1/4 daripada sukatan asal gula
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/4 sudu teh garam - saya tak masukkan

Bahan B
1/4 cawan minyak masak
1/2 cawan air sejuk -saya kurangkan 1/4 daripada sukatan asal gula
1 sudu teh esen vanila -saya tak masukkan
1 sudu teh jus limau

Cara
1. Panaskan ketuhar dengan suhu 190° C dalam 20 minit.
2. Ayak tepung, serbuk koko dan soda bikarbonat. Masukkan gula dan garam. Kacau. Kalau guna madu, tak perlu masukkan lagi.
3. Dalam bekas lain, campurkan semua bahan B. Jika guna madu, masukkan madu dalam adunan ini. Kacau sebati.
4. Masukkan adunan bahan A ke dalam bekas adunan bahan B. Gaul sekadar sebatikan adunan.
5. Masukkan jus limau.
6. Masukkan adunan ke dalam acuan muffin.
7. Bakar dalam masa 30 minit.

Nota:
1. Saya kurangkan suhu kepada 175°C sebab guna madu.
2. Bakar dengan suhu 175°C selama 5 minit, kemudian kurangkan suhu kepada 160°C untuk 25 minit seterusnya.

Rujukan:
1. Resepi asal
2. Tips buat muffin sedap
3. Tips ganti gula dengan madu

29 November 2014

Rezeki Kita Datang Dalam Pelbagai Cara

Hampir sebulan saya bercuti. Menjadi suri rumah sepenuh masa. Bunyi macam banyak masa, konon macam boleh buat perkongsian baru setiap hari. Tapi, tak macam tu pulak. Pelik, pelik. Sibuk sangat itu tidaklah. Sibuk melayan Hana yang dah pandai macam-macam. Tengah petah nak bercakap tu. Cuma, bila ada masa terluang, saya gunakan masa itu dengan aktiviti hobi. Jadi, blog ini diketepikanlah sekejap.

Berbalik kepada tajuk perkongsian. Melalut jauh juga intronya..

Sudah lama saya nak tulis tentang tajuk ini. Rezeki kita datang dalam pelbagai cara. Dalam bentuk berbeza. Di lain-lain tempatnya.


Ada yang Allah berikan rezeki jodohnya cepat. Tetapi, rezki anak lambat sedikit.

Ada yang jodohnya lambat, rezki anak cepat.

Ada yang belum bertemu jodohnya, rezki dapat naik pangkat, ada keluarga yang penyayang, sentiasa gembira.

Macam-macamlah bentuknya.


Ada hikmahNya.

Rezki Allah beri, satu ujian. Ujian rasa bersyukur.
Rezki yang kita harap tetapi Allah belum beri juga satu ujian. Ujian untuk menilai kesabaran kita.

Maaflah, jika perkongsian ini bunyi macam tazkirah.

Sejak dah jadi ibu, saya lagi banyak berfikir. Allah beri Hana yang baik, mudah dijaga. Rezki kami tetapi kami diuji sedikit dengan masalah pengasuh dan taska. Walaupun, saya ada kongsikan tentang tips mencari pengasuh, saya pun sebenarnya tak dapat pengasuh yang diidamkan.

Apapun, ada orang lain yang Allah berikan ujian lagi besar. Dan, mereka bersabar...

Jadi, kita selalu bersyukur. Jom...

Moga saya mudah sentiasa positif dalam semua perkara..